Sosma 'lompong', polis kini harapkan Pota
Pihak meletakkan harapan kepada Akta Pencegahan Keganasan (POTA) untuk memulihkan pihak terlibat dalam kegiatan kumpulan bersenjata Negara Islam (IS).
Bahagian antikeganasan Bukit Aman berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma) sedia ada tidak dapat memainkan peranan itu kerana tiada peruntukan untuk program pemulihan.
“Tapi dalam POTA yang akan diwartakan insya-Allah, kita akan memperuntukkan khusus program pemulihan,” kata pengarah bahagian itu Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay selepas program taklimat berhubung ancaman IS di Shah Alam hari ini.
Mengambil contoh kes seorang gadis 14 yang ditangkap kerana dikatakan mahu menyertai IS, Ayob berkata mereka terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk pemulihannya.
“Apa yang polis buat untuk budak 14 tahun itu? Kita ambil inisiatif kita sendiri.
“Kita bawa ustaz datang untuk memulihkan,” katanya.
Polis dedah 'manual mujahidin' IS
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai penangkapan terbaru 12 orang suspek anggota IS dan rampasan barangan dan bahan kimia dipercayai untuk membuat bahan letupan.
Ayob berkata mereka dipercayai belajar membuat bahan letupan melalui Internet.
“(Mereka) belajar daripada Internet. Ada 'manual mujahidin' dan bukan susuh pun buat bom.
“(Kami) dapat sahkan dapat belajar melalui Internet,” katanya.
Sehingga kini, jumlah rakyat Malaysia yang dilapor terlibat dengan IS seramai 107 orang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengumumkan lelaki tempatan berumur antara 17 dan 41 tahun itu ditangkap dalam satu operasi di Hulu Langat dan Cheras.
Mereka dipercayai sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas lokasi strategik dan berkepentingan kerajaan sekitar Lembah Klang.

