Universiti di Malaysia mungkin tidak menyerlah dalam ranking global tetapi satu kajian baru-baru ini mendapati sesetengahnya cemerlang dalam subjek-subjek tertentu.
QS World University Ranking by Subject yang dikeluarkan hari ini menunjukkan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai antara 50 universiti teratas - dengan UM di tangga ke-32 dan USM (31) - masing-masing bagi ranking dalam Kajian Pembangunan dan Sains Alam Sekitar.
Kajian terbaru itu dilihat sebagai sesuatu yang menyenangkan selepas universiti-universiti di Malaysia gagal menduduki senarai 100 teratas bagi QS World University Ranking 2014.
Ranking itu meletakkan UM di tempat 151, diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga 259 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan 294.
Quacquarelli Symonds (QS) , yang mengeluarkan ranking terkini mengikut subjek, berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa UM turut menduduki senarai 100 teratas bagi enam subjek lain.
Ia adalah mekanikal, aeronautikal dan kejuruteraan pembuatan; elektrik dan kejuruteraan elektronik, kejuruteraan kimia; linguistik; bahasa Inggeris dan kesusasteraan dan seni bina (persekitaran binaan).
UM - prestasi tempatan terbaik
USM turut menduduki senarai 100 teratas bagi lima subjek lain: kejuruteraan kimia; mekanikal, aeronautikal dan kejuruteraan pembuatan; kejuruteraan elektrik dan elektronik; kajian pembangunan dan seni bina (persekitaran binaan).
Turut menduduki senarai 100 teratas bagi bidang pertanian dan perhutanan ialah UPM, manakala UTM pula bagi subjek kejuruteraan kimia dan seni bina (persekitaran dibina).
Apabila diperluaskan meliputi 150 teratas, UTM turut tersenarai bagi subjek mekanikal; aeronautikal dan kejuruteraan pembuatan; kejuruteraan elektrik dan elektronik dan kejuruteraan awam dan struktur.
"Dalam senarai 200 teratas global, lapan universiti di Malaysia disenaraikan bagi 23 subjek, dengan kekuatan representasi dalam semua subjek kejuruteraan, dengan sekurang-kurangnya tujuh institusi Malaysia disenaraikan," kata kenyataan itu.
Pada keseluruhannya, UM mencatatkan ranking bagi 23 subjek, diikuti UPM (19), USM (18), UKM (16), UTM (10), Universiti Teknologi Petronas (4), Universiti Teknologi Mara (3), Multimedia Universiti (2), Universiti Tun Hussein Onn (1) dan Universiti Utara Malaysia (1).
