Pemimpin Umno anggap kebebasan Anwar bukan isu besar
Kalangan pemimpin Umno sependapat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi berpengaruh dalam parti itu sejak enam tahun bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat daripada parti dan kerajaan pada 1998.
Kalangan pemimpin Umno sependapat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi berpengaruh dalam parti itu sejak enam tahun bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat daripada parti dan kerajaan pada 1998.
Menurut mereka, keputusan mahkamah membebaskan Anwar hari ini, tidak akan mempunyai sebarang kesan terhadap Umno, memandangkan perhimpunan agung parti itu akan berlangsung hujung bulan ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad berkata Anwar yang merupakan Timbalan Presiden Umno sebelum dipecat tiada lagi mempunyai pengaruh dalam parti itu sekarang.
"Masa telah berubah, Anwar dan Umno, bagi ahli-ahli parti itu kini bukanlah lagi satu isu politik, ianya ialah mengenai soal persahabatan dan keadaan kesihatannya," kata Shahrir yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
"Saya juga tidak terkejut dengan pembebasan (Anwar) itu...Secara peribadi saya ingin mengucapkan selamat kembali kepada Datuk Seri Anwar," tambahnya.
Seorang lagi ahli MT, Datuk Nazri Abdul Aziz juga sependapat bahawa Anwar tidak lagi mempunyai pengaruh, tetapi mengakui bahawa bekas Timbalan Peradna Menteri itu telah memainkan peranan penting dalam parti dan negara.
Sepakat
"Tidak, saya rasa Anwar tidak lagi mempunyai pengaruh dalam parti (Umno) kerana Pak Lah telahpun memperkukuhkan Umno dan ini terbukti apabila apabila kesemua bahagian Umno telah sepakat untuk mencalonkan Pak Lah sebagai Presiden parti," katanya kepada pemberita.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata senario politik tersebut mungkin berbeza jika Anwar tidak menubuhkan parti pembangkang Keadilan selepas beliau dipecat. Parti itu dipimpin oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Beliau mungkin masih berpengaruh hari ini jika tidak menubuhkan parti Keadilan, tidak menentang Umno dan memecahbelahkan orang Melayu. Kita di dalam Umno melihat dengan jelas bahawa beliau memperjuangkan kepentingan diri, oleh itu, tiada apa-apa yang perlu diraikan," tegas Nazri.
Bagaimanamanpun, Nazri enggan mengulas lanjut apabila diminta mengulas mengenai Anwar yang terpaksa menjalani hukuman penjara walaupun hari ini Mahkamah Persekutuan mendapatinya tidak bersalah terhadap kesalahan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan pembebasan Anwar itu sebagai sesuatu yang 'baik'.
Beliau yang juga seorang peguam menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang baik dalam membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman yang pasti akan memakan masa yang panjang.
Manakala Timbalan Presiden MCA Chan Kong Choy, Setiausaha bersama Pemuda MCA Liow Tiong Lai dan Setiausaha Agung Gerakan Chia Kwang Chye berkata mereka menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.
Tidak berat sebelah
"Saya menghormati dan menerimanya. Ia menunjukkan pihak kehakiman bebas membuat keputusan walaupun ianya tidak sebulat suara,tetapi keputusannya telah dibuat," tambah Chia yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas pula berkata, keputusan mahkamah itu mencerminkan bahawa sesiapa sahaja mendapat layanan yang sama di mahkamah dan tiada unsur-unsur berat sebelah.
Beliau yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal perundangan juga mengingatkan Anwar bahawa beliau tidak boleh aktif dalam politik atau sebarang pertubuhan selama tempoh lima tahun.
Sementara itu, pemimpin pembangkang juga turut menyatakan harapan bahawa kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang akan dapat ditingkatkan lagi berikutan pembebasan Anwar itu.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Teresa Kok dan Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berharap agar pembebasan Anwar itu akan merubah landskap politik di Malaysia.
Salahuddin pula gembira kerana Anwar akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya dan akan menjalani rawatan bagi sakit tulang belakang yang dihidapinya.
"Saya harap pembebasan beliau juga akan menandakan permulaan pembaharuan dalam bidang kehakiman," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.