Pegawai SPR maut balik dari Pmtg Pauh
Diterbitkan: Apr 29, 2015 8:16 PM | Dikemas kini: Apr 30, 2015 11:54 AM
Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru balik dari Permatang Pauh maut selepas motosikal berkuasa tingginya terbabas di Kilometer 342.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata kejadian berlaku kira-kira 11.45 pagi ketika Imran Kamili Ahmad Nazirin, 45, menunggang motosikal Harley Davidson untuk pulang ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
"Mangsa dikatakan terlanggar bongkah kayu di tengah jalan menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mayat mangsa kemudianya dihantar ke Hospital Tapah.
- Bernama

