Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini melancarkan buku berkaitan analisis pelaksanaan hudud yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Buku 'Pelaksanaan Hudud Di Malaysia: Satu Analisis’ setebal 177 muka surat itu adalah kompilasi kertas kerja yang dibentangkan semasa Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan sempena Program Dakwah Negara 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Yang dipertuanya, Senator Datuk Asyraf Wadji Dasuki berkata buku itu sangat penting untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai pelaksanaan hudud berbanding hanya bercakap berdasarkan semangat dan sentimen.

"Rata-rata masyarakat berhujah mengenai hudud berasaskan emosi dan sentimen berbanding hujah berteraskan ilmu dan fakta yang sahih," katanya selepas majlis perasmian buku itu di Masjid Wilayah Kuala Lumpur.  

Asyraf juga penyunting buku berkenaan. Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Asyraf berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan muzakarah itu untuk berbincang secara konstruktif dan objektif berteraskan ilmu dan fakta mengenai perlaksanaan hudud di Malaysia.

Antara pihak yang terlibat dalam muzakarah itu termasuk alim ulama, cendekiawan, wakil parti politik dan pemimpin masyarakat.

Serah buku pada DAP, PKR

Sementara itu, Mohd Khairuddin turut menyumbang sebagai pembentang kertas kerja dalam muzakarah itu.

Beliau, yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata sedang menimbang untuk menyerahkan buku itu kepada PKR dan DAP untuk supaya mereka lebih memahami perlaksanaan hudud.

"(Saya) hendak serah (buku ini tapi) mungkin boleh diserah sebagai satu pandangan rasmi (PAS), Insya-Allah.

"Buku ini milik YADIM bukan milik saya, (tapi) kita sebenarnya ada dalam mesyuarat bersama. Jadi kita boleh bagilah, (tapi) belum putuskan lagi sebab buku baru dapat," katanya.