Dakwaan bercanggah tangkapan selepas protes
Polis mendakwa mereka telah menangkap 29 individu berikutan perhimpunan Kita Lawan hari ini, tetapi pihak peguam pula mendakwa sekurang-kurangnya 50 orang telah ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Zainuddin Ahmad berkata 29 individu, termasuk seorang wanita, ditangkap. Mereka berumur di antara 17 dan 51.
Zainuddin berkata, beberapa orang yang ditahan juga disiasat di bawah Seksyen 4 Akta bahan kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958, yang melibatkan pemilikan bahan kakisan atau letupan bagi maksud menyebabkan kecederaan.
Menurutnya, bom asap dirampas daripada beberapa orang yang ditahan.
Polis akan memohon perintah reman esok.
Sementara itu, menurut polis, perhimpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sempena hari buruh di ibu negara hari ini dicemari banyak kesalahan.
Kesalahan itu, kata polis, termasuk tidak berkumpul di tempat ditetapkan, membawa kanak-kanak, merosakkan harta awam, membakar mercun dan menggunakan bom asap.
"Ini menjelaskan penganjur telah melakukan perlanggaran peraturan dan undang-undang yang ditetapkan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana mengadakan perhimpunan haram.
"Siasatan dan tindakan yang wajar akan diambil oleh pihak polis Kuala Lumpur sepertimana peruntukan sedia ada kerana perbuatan ini telah didokumentasikan melalui rakaman gambar dan video," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa dalam satu kenyataan.
Seorang peserta protes itu, Aiman ââHasran memberitahu Malaysiakini bahawa rakannya Liwauddin Aminuddin telah ditahan oleh dua lelaki memakai jaket polis.
"Kami bertanya polis bantuan KLCC arah ke stesen LRT, tetapi tiba-tiba dua lelaki datang dan menahan rakan saya itu," katanya.
Kumpulan lain mendakwa empat orang rakan mereka juga turut ditangkap.
Seorang peserta protes yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, berkata kira-kira 10 lelaki berpakaian biasa mendekati mereka di perkarangan KLCC.
Dia mendakwa mereka membuat tangkapan di situ dan memasukkan orang yang ditahan ke dalam dua buah trak.
Ketika dihubungi kemudian, Ketua Polis Dang Wangi Zainol Samah dan Tajuddin mendakwa bahawa tidak dikemaskini mengenai perkara itu.

