Anwar tidak jadi berlepas ke Jerman malam ini
Urusan sedang berjalan lancar untuk membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Jerman untuk menjalani pembedahan bagi sakit tulang belakang secepat mungkin.
Urusan sedang berjalan lancar untuk membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Jerman untuk menjalani pembedahan bagi sakit tulang belakang secepat mungkin.
Anwar yang
dibebaskan
oleh Mahkamah Persekutuan semalam, selepas membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat, berada di Jabatan Imigresen di Plaza Damansara pagi ini untuk mendapatkan pasport.
Menurut laporan AFP , kira-kira 300 penyokong Anwar turut berada di Pejabat Imigresen di situ.
Sambil memegang pasport barunya yang siap dalam masa satu sejam, Anwar memberitahu mereka: "Saya amat gembira. Saya sudah boleh ke Jerman untuk merawat sakit belakang saya,"
Anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata, urusan untuk membolehkan Anwar berlepas ke Jerman malam tadi gagal.
"Memang kami gembira kerana dapat lebih lama bersama papa. Tetapi memandangkan keadaan kesihatannya itu, kami berharap beliau dapat sampai ke sana (Munich) hari ini juga, tetapi ianya tidak kesampaian. Kami harap semuanya akan berlancar malam ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini pagi tadi.
Malaysiakini difahamkan bahawa Anwar hanya akan berlepas ke Jerman hujung minggu ini akibat masalah penerbangan.
Pasport
Menurut Nurul Izzah, keluarganya telahpun memaklumkan kepada Dr Thomas Hoogland bahawa Anwar akan tiba di AlphaKlinik di Munich hujung minggu ini.
Sementara itu, pembantu khas Anwar, Azmin Ali berkata, jika segala-galanya berjalan lancar, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan berlepas ke Munich malam ini.
Menurutnya, sewaktu menjadi menteri, Anwar memiliki pasport diplomatik tetapi ianya kini tidak sah digunakan lagi.
Manakala isteri Anwar pula, Wan Azizah Wan Ismail, berkata pagi ini Anwar menikmati sarapan pertamanya pagi ini dengan menjamah bijirin dan pisang goreng, selepas dibebaskan oleh mahkamah semalam.
"Beliau makan dengan berselera sekali," katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata tidak kesemua adik beradiknya dapat mengikuti ibunya untuk menemani Anwar ke Jerman malam ini.
"Konvokesyen saya akan berlangsung esok dan papa mahu saya menghadirinya," kata Nurul Izzah yang akan menerima ijazah muda dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Tenaga Nasional.
"Saya juga perlu menunggu sehingga (Nurul) Hana selesai menduduki peperiksaan UPSR minggu depan. Kemungkinan kami akan hanya dapat ke sana, paling awal pun, Khamis depan."
Sakit
Menurutnya lagi, kediamannya di Bukit Damansara menjadi tumpuan ribuan orang ramai yang datang menziarahinya bapanya sejak beliau dibebaskan oleh mahkamah semalam
"Sehingga jam 1 pagi tadi pun masih ada yang datang. Kami bimbang papa akan letih, tetapi nampaknya beliau begitu gembira menerima para tetamu yang datang...oleh itu, kami harap mereka yang tidak berpeluang menemui papa akan memahami keadaannya...," kata Nurul Izzah lagi.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohamad Nor, memberitahu AFP Anwar boleh berlepas ke Jerman dengan menaiki pesawat persendirian yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
"Beliau begitu gembira semalam, tetapi hari ini beliau mengalami kesakitan yang teruk. Kami bimbangkan keadaan kesihatannya dan kami mahu beliau dibawa ke Jerman secepat mungkin."
Sementara itu, jurucakap Gerakan Bebas Anwar, Tian Chua memberitahu
malaysiakini
satu konvoi akan mengiringi Anwar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini sebelum berlepas ke Jerman.
Katanya, mereka yang ingin turut serta dalam konvoi tersebut diminta berhimpun di luar kediaman Anwar pada jam 6 petang ini.

