Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Samsu Baharun Abdul Rahman adalah antara enam ahli Umno yang digantung keanggotaan selama tiga tahun atau sepenggal tempoh pemilihan parti kerana terbabit dalam politik wang dan melanggar tata etika pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata empat daripada mereka yang terbabit, termasuk Samsu Baharun adalah dari Bahagian Silam, Sabah.

Menurut Bernama , selain Samsu Baharun yang merupakan timbalan ketua bahagian itu, tiga lagi ialah ketua bahagiannya, Mohd Yusof Apdal dan dua ahli jawatankuasa bahagian, Hakim Ghulam Hassan dan Datuk Ibrahim Abdul Karim.

Tengku Rithauddeen berkata, kesalahan Samsu Baharun ialah memberi wang RM50 setiap seorang kepada dua ahli Umno bagi meraih undi manakala Mohd Yusof memberi wang RM200 kepada seorang ahli Umno bagi mendapat undi serta menganjurkan pertemuan di Lahad Datu.

Hakim pula didapati bersalah atas beberapa tuduhan memberi wang antara RM200 dan RM600 serta menjadi pelobi manakala Ibrahim juga bersalah kerana memberi wang dan menjadi pelobi.

Dua lagi yang digantung keanggotaan ialah Ahmad Shahreazal Abdul Rashid, ahli Umno bahagian Jelutong dan Asgali Selamat dari Bahagian Batu Sapi.

Ahmad Shahreazal bersalah atas tuduhan memberi wang RM200 kepada ahli jawatankuasa cawangan untuk memberi undi di peringkat bahagian manakala Asgali yang menghadapi dua tuduhan, didapati bersalah memberi wang RM50 setiap seorang kepada dua ahli Umno.

Hukuman

Sehingga kini, 10 ahli telah disabitkan kesalahan dan digantung keahlian manakala tiga lagi diberi amaran. Pada 4 Ogos lalu, Lembaga Disiplin menggantung keahlian Ketua Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Amil Salleh.

Pada 23 Ogos, tiga lagi ahli, iaitu Ketua Pemuda Bahagian Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz ( gambar ), Bendahari Pemuda Bahagian Tanah Merah Mohd Yusoff Deraman dan seorang ahli dari Bahagian Kuala Krai, Abdullah Zawawi Che Omar, menerima hukuman yang sama.

Tengku Rithauddeen berkata Lembaga Disiplin juga mendapati enam lagi ahli, yang dituduh terbabit dalam politik wang atau melanggar tata etika pemilihan, sebagai tidak bersalah.

Mereka ialah Datuk Mohd Othman Yusof, Abdul Wahab Mustaffa, Mohd Khodri Sudir, Abdul Ghauth Abdul Rahman dan Shahril Ismail, kesemua dari Bahagian Tanjong Piai.

Seorang lagi ialah Ketua Puteri Umno Bahagian Silam, Maizatul Akmam Datuk Alawi, yang juga Ketua Penerangan Puteri Umno Sabah.

Tengku Rithauddeen berkata Lembaga Disiplin juga mensabitkan tiga kes kerana mensabotaj parti pada pilihanraya umum Mac lalu dan boleh dipecat keahlian selama tiga tahun.

Ikan besar

"Tetapi kes ini saya tidak boleh beri nama kerana ia perlu dilaporkan terlebih dahulu kepada Majlis Tertinggi," katanya.

Setakat ini, sejumlah RM20,000 telah diserahkan kepada Lembaga Disiplin sebagai bahan bukti politik wang sepanjang pemilihan kali ini.

Beliau juga menegaskan bahawa siasatan lembaga mengenai politik wang dan salahlaku adalah sama tanpa mengira kedudukan seseorang ahli, sama ada "ikan besar" atau "ikan kecil".

Tengku Rithauddeen menafikan angggapan sesetengah pihak bahawa lembaga itu tidak berkesan kerana gagal menangkap "ikan besar".

"Lembaga Disiplin hanya bertindak berdasarkan aduan, keterangan dan bukti yang diberikan oleh ahli dan tidak boleh sekadar berdasarkan kepada hearsay (desas-desus)," katanya.

Katanya Lembaga Disiplin akan terus mengadakan siasatan terhadap kes-kes politik wang dan salah laku walaupun selepas perhimpunan agung parti akhir bulan ini.

Mengenai kekosongan jawatan ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian Silam, beliau berkata ini terserah kepada MT untuk menentukannya.