"Bodoh! Kita bukan institusi akademik. Kita sudah tentunya memerlukan orang yang boleh bercakap dan menulis dengan baik."

Begitulah reaksi Presiden Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian terhadap laporan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan teliti cadangan  pensyarah kontroversi, Ridhuan Tee Abdullah supaya calon pilihan raya lulus sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Malaysia (BM) di peringkat SPM.

Bagaimanapun, Sim mengakui bahawa ahli Parlimen dan ADUN mesti boleh bertutur dan menulis dengan baik.

SPR dilaporkan sedang memikirkan cadangan itu yang diutarakan oleh Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam kolumnya di Sinar Harian.

Ridhuan membuat cadangan itu dalam kolumnya pada 27 April lalu, di mana beliau menulis tentang kelemahan penguasaan Bahasa Malaysia di Parlimen dan DUN.

"Kita tidak mahu perbahasan di Dewan atau Parlimen seperti pasar malam," tulis Ridhuan dalam kolumnya itu.

Ketika ditanya sama ada SPR sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara-perkara lain seperti kesihatan calon, Sim yang merupakan seorang pakar kardiologi berkata itu tidak demokratik.

"Begitu juga, sepertimana kita tidak mahu membazirkan wang pembayar cukai, tidak ada negara demokrasi di dunia mengenakan status kesihatan sebagai kriteria," katanya kepada Malaysiakini.

Kesihatan calon pilihan raya telah menjadi kebimbangan banyak pihak menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sekurang-kurangnya 12 daripada 16 pilihan raya kecil sebelum PRU13 disebabkan oleh kematian penyandangnya akibat sakit jantung atau kanser.

Manakala MP Serdang Ong Kian Ming percaya SPR sepatutnya memberi tumpuan terhadap cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan dalam pilihan raya tiga tahun lalu.

Katanya, daripada menumpukan usaha mengkaji cadangan Ridhuan Tee itu, SPR seharusnya menunaikan janjinya lebih tiga tahun lalu, iaitu untuk mengumumkan hasil penemuan dan kajiannya terhadap cadangan-cadangan khusus PSC mengenai pembaharuan dalam pilihan raya

"Lebih tiga tahun selepas respons oleh pengerusi SPR, kita tidak nampak pun mana-mana kajian itu diumumkan atau dibincangkan secara terbuka oleh SPR," kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.

[Baca berita penuh/asal]