Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Rompin semalam tidak konklusif mengenai sama ada isu-isu yang merundungi pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak memberi kesan ke atas sentimen di kalangan pengundi, demikian menurut penganalisis.

Sebaliknya, kemerosotan majoriti BN dalam PRK itu boleh dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, berbanding dengan semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata CEO Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan dan felo Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat.

Wan Saiful (kanan) memberitahu Malaysiakini , untuk menguji sentimen pengundi dalam PRK terhadap isu-isu seperti GST, dakwaan gaya hidup mewah Najib, dan kritikan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, maka PRK itu perlu diadakan di kerusi yang marginal.

Ia seharusnya kerusi di mana kedua-duanya -  BN dan Pakatan Rakyat - mempunyai peluang untuk menang, dan bukan di Rompin, yang merupakan kubu kuat Umno.

"Saya tidak fikir Rompin adalah yang terbaik untuk mengukur sentimen itu, kerana ia memang menjadi kerusi selamat untuk BN dan Umno.

"Jadi, walaupun terdapat tahap kemarahan terhadap Najib di kalangan penyokong BN, tetapi ia tidak akan dapat dilihat dengan jelas di kawasan seperti Rompin.

"Jika hendak menguji sentimen seperti itu, maka ia seharusnya di kawasan pilihan raya yang 50-50," katanya ketika dihubungi malam tadi.

S ebaliknya, Wan Saiful berpendapat PRK itu adalah ujian sama ada bukan Islam masih percaya kepada PAS, terutamanya memandangkan seperti ada peralihan undi pemilih Cina kepada BN.

"S aya rasa kita boleh menganggap bahawa, pada masa ini, tahap kepercayaan kepada PAS, terutamanya dalam Pakatan Rakyat, telah merosot dengan ketara.

"Dalam pilihan raya ini, saya fikir, adalah menarik untuk mengukur berapa besar kemerosotan itu," katanya.

Menjawab satu soalan, Wan Saiful berkata ini bukan kerana usaha PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud semata-mata, tetapi juga kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan Umno dan tanggapan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang "tidak boleh dipercayai" sebagai ahli gabungan Pakatan Rakyat.

Dalam PRK Rompin semalam, calon BN Datuk Hasan Arifin mengekalkan kerusi itu dengan mendapat 23,796 undi, mengalahkan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi. Peratusan keluar mengundi ialah 74 peratus, berbanding 86 peratus pada PRU13.

Bekas penyandang kerusi itu, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, menang dengan majoriti 15,144 undi dalam PRI13.

Daripada sejumlah 53,294 pengundi, kira-kira 2 peratus terdiri daripada kaum Cina, tetapi angka itu meningkat mencecah 27.7 peratus di beberapa daerah mengundi, seperti Kuala Rompin.

Majoriti pengundi di Rompin (87 peratus) ialah Melayu, demikian menurut angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)