Kontroversi mengenai pembelian tanah Lembaga Tabung Haji (LTH) dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah disebabkan oleh penglibatan orang politik di dalam pentadbiran tertinggi lembaga itu sendiri.

Hal ini amat berkait rapat dengan kedudukan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan ahli parlimen Umno sebagai pengerusinya.

Pelantikan orang politik sebagai pegerusi LTH hanya menimbulkan konflik kepentingan di dalam pentadbiran dan hala tuju LTH itu sendiri.

Malah, kewujudan orang politik sebagai pengerusi LTH akan hanya menimbulkan kesangsian dan keraguan para pencarum terhadap tatakelola institusi berkenaan.

Adalah tidak wajar bagi sesebuah institusi kewangan Islam yang memegang amanah para jemaah haji dari seluruh negara dipengerusikan oleh orang politik yang dilantik.

Ini kerana, ahli politik itu akan dilihat sebagai mewakili kepentingan parti yang diwakilinya berbanding kepentingan para pencarum.

LTH sepatutnya dipengerusikan oleh tokoh korporat berjiwa Islami dan bebas politik yang telah terbukti kemampuannya dan mempunyai rekod yang diperakui oleh semua pihak.

Tokoh yang bebas dari politik ini akan membawa keluwesan dalam tata kelola institusi berkenaan, sekali gus menepati aspirasi pentadbiran dan tata kelola Islami.

Islam larang pilih kasih

Langkah ini selaras dengan kedudukan Lembaga Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam.

Seorang ulama Islam klasik, Ibn Taimiyah (mati 1328M) pernah menyentuh mengenai isu tata kelola ini di dalam karyanya berkaitan politik yang berjudul 'al-Siyasah al-Syar'iyyah'.

Di dalam buku tersebut, Ibn Taimiyah mengingatkan para penguasa agar tidak melantik seseorang ke jawatan yang melibatkan kepentingan awam dan kepentingan kaum Muslimin berdasarkan pilih kasih, sama ada kerana hubungan kekeluargaan, sahabat handai, saudara mara, dari sesama kumpulan ataupun fahaman politik.

Pelantikan secara pilih kasih serta mengenepikan orang lain yang lebih layak sedemikian menurut Ibn Taimiyah adalah pengkhianatan terhadap Allah, Rasul dan kaum Muslimin. Hal tersebut telah disebutkan oleh Saidina Umar dan juga oleh Rasulullah SAW sendiri.

Ulama terkenal, dan bapa sosiologi Islam dari Afrika Utara, Ibn Khaldun (mati 1406M) di dalam magnum Opus beliau, 'al-Mukaddimah' juga ada menyentuh perkara ini.

Katanya, keruntuhan sesuatu tamadun ialah apabila golongan pemerintah sibuk berniaga dan mencampuri urusan perniagaan dengan menggunakan jawatannya.

Pihak politik, terutamanya pihak pemerintah sepatutnya tidak mencampuri urusan perniagaan yang sepatutnya menjadi ruang kepada pasaran dan masyarakat.

Siasat pihak bertanggungjawab

Penglibatan aktor politik hanya akan menimbulkan konflik kepentingan dan menyumbang kepada bad governance ataupun tata kelola yang buruk.

Hal ini amat signifikan dengan apa yang berlaku kepada LTH. Isunya bukan kerana faktor Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai individu, isunya ialah sistem tata kelola LTH sebagai pemegang amanah kepada caruman umat Islam seMalaysia.

LTH sepatutnya menjadi sebuah institusi bebas politik di dalam pentadbiran dan pengurusannya. LTH tidak patut dipengerusikan oleh mana-mana individu politik, apatah lagi dari pihak pemerintah.

Berdasarkan kesedaran ini, keresahan dan perasaan cemas pencarum perlulah diselesaikan secepat mungkin.

Pihak yang bertanggungjawab terlibat di dalam urusan tersebut perlu disiasat dengan telus dan jika mereka mempunyai integriti, mereka hendaklah meletakkan jawatan jika benar berlakunya transaksi kontroversi dan penuh risiko berkait 1MDB yang sedang disiasat sekarang ini.

Pengerusi LTH juga perlu digantikan serta merta dengan individu bebas politik demi memulihkan keyakinan para pencarum sebelum majoriti pencarum membuat keputusan drastik secara kolektif yang kelak akan menjejaskan institutsi kewangan Islam tertua di negara ini.


DR MASZLEE MALIK presiden Persatuan Kakitangan Akademik UIA.