Tengku Mahkota Johor (TMJ) menggesa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menegur Pasukan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan pengurusan bola sepak 30 tahun yang didakwa tidak memuaskan.

Bermula dengan penganjuran perlawanan Harimau Malaya dan pasukan Inggeris Tottenham Hotspur 27 Mei ini, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ( bawah ) membayangkan FAM kini tersasar haluan.

“Sebagai seorang yang akan memimpin pada masa akan datang, rakyat perlu tahu bahawa sebagai pemimpin mereka, anda akan memperjuangkan kebenaran,” katanya yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

“Anda patut berkhidmat kepada mereka dengan menyuarakan permasalahan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap FAM , yang telah menguruskan bola sepak negara dengan tidak memuaskan selama 30 tahun kebelakangan ini.”

Dalam kenyataan di laman Facebook bola sepak Johor lewat malam tadi, Tunku Ismail berkata untuk maju ke hadapan, Malayssia perlu menumpukan usaha terhadap prestasi dan ranking pasukan kebangsaan.

“Tidak lupa juga untuk mengagihkan hasil dan hak penyiaran secara adil kepada setiap pasukan yang bertanding,” katanya lagi.

 

Kepada YB Khairy Jamaluddin dan FAM...Saya jujur, neutral dan saya sebenarnya lebih suka mendiamkan diri, tetapi...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, 7 May 2015

Menyifatkan Khairy sebagai menteri yang baik, beliau mengingatkan menteri itu supaya pengurusan bola sepak negara ditadbir dengan penuh ketelusan sehingga boleh dibanggakan pencinta bola sepak.

TMJ bagaimanapun menegaskan beliau bersuara bukan kerana hendak menjadi presiden FAM tetapi kerana cintakan sukan bola sepak negara.

“Dengan itu, adalah satu perkara yang boleh dibanggakan oleh pencinta bola sepak tanah air,” katanya.

Beliau juga mengakhiri tulisan itu dengan menyebut: “Pandangan ikhlas daripada, orang yang paling dibenci dalam bola sepak Malaysia”.


Berkaitan: TMJ: Malaysia vs Spurs 'perlawanan sarkas'