Pacsu lapor polis berhubung kenyataan Azmin
Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (Pacsu) hari ini membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang didakwa menghina Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini.
Azmin didakwa menghina Khalid dengan menggelarnya 'barua Umno' dalam satu ceramah di Permatang Pauh, baru-baru ini.
Laporan polis itu dibuat pada 10 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Presiden Pacsu, Mahamad Bahrum bersama 11 anggota jawatankuasa Pusat dan Lembah Kelang bagi menyatakan pendirian mereka terhadap isu terbabit.
Menurutnya beliau mewakili 14,000 pegawai awam polis di seluruh negara dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Azmin itu.
"Kami meminta Azmin memohon maaf kepada seluruh anggota polis terutamanya kepada Ketua Polis Negara serta menarik semula kata-katanya," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
- Bernama

