Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semalam, Pemuda Umno mula melangkah masuk gelanggang untuk menduga isu jualan tanah 1Malaysia Development Berhad kepada Tabung Haji – kumpulan wang amanah untuk orang rasmai menunaikan haji di Makkah.

Kenyataan dikeluarkan Pemuda Umno semalam adalah acahan untuk Kementerian Kewangan yang kini dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi jawapan berhubung penjualan dengan harga RM190 juta itu.

Pergerakan itu turut meminta Tabung Haji memberi penjelasan lanjut. Kenyataan itu diedarkan kepada media dan turut ditepek di laman Facebook Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Perlu diingat, kumpulan Pemuda Umno itu jugalah yang bersungguh-sungguh mengusung Najib dalam satu pertemuan pada pertengahan bulan lalu sebagai tanda sokongan kepada perdana menteri.

Khairy Jamaluddin ini menteri di Kementerian Belia dan Sukan. Najib pula presiden parti. Pengerusi Lembaga Tabung Haji adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, seorang ahli majlis tertinggi parti.

Apa sudah jadi dengan Umno sehingga persoalan mudah seperti inipun tidak boleh ditanya mengikut saluran dalaman atau melalui Kabinet?

Diam yang anggun

Kenapa Khairy perlu bersikap seperti pembangkang dengan mengedar kenyataan politik kepada media untuk menuntut penjelasan perdana menteri dan di Facebook?

Kita biasa melihat kenyataan daripada pemimpin Pakatan Rakyat yang menuntut jawapan kepada soal itu dan ini, menjadi tajuk sensasi di portal berita, termasuk Malaysiakini .

Kita juga biasa memerhatikan betapa Najib buat tidak tahu sahaja dengan persoalan seperti itu. Kalau di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, strategi membungkam seperti ini dipanggil diam yang anggun ( elegant silence ).

Entahlah, di celah mana anggunnya.

Apabila teruk diasak, seperti yang dilakukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, barulah Najib menjawab serba sedikit.

Dr Mahathir ada sebab untuk berleter di blog atau ketika berucap di mana-mana acara yang dihadirinya. Mahathir bukan lagi anggota Kabinet. Beliau tiada apa-apa jawatan lagi dalam pentadbiran kerajaan.

Tetapi Khairy seorang menteri Kabinet Najib. Tidakkah isu jualan tanah itu dibincangkan semasa mesyuarat jemaah menteri?

Sudahlah isu jual tanah ini belum dirungkai sepenuhnya, tindakan Khairy yang seolah-olah menunjal kepala Najib di khalayak ramai sebegini tentunya mengaibkan perdana menteri.

Tindakan menimbulkan tanda tanya: Apakah saluran komunikasi di antara Khairy dengan PM kini sudah tersekat?


SALHAN K AHMAD anggota redaksi Malaysiakini .

Lihat Komen
ADS