Bekas  Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mengajak umat Islam di Malaysia berdoa bersama-sama Tun Dr Mahathir supaya Tuhan "membuka hati" perdana menteri meletak jawatan.

Dalam tulisan terbarunya di blog beliau, Zainuddin berkata Dr Mahathir kini berada di Makkah untuk menunaikan umrah.

Dr Mahathir, kata Zainuddin, berlepas ke tanah suci semalam.

Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu berkata, Datuk Seri Najib Razak ( gambar ) perlu melepaskan jawatan sebagai perdana menteri "bagi menyelamatkan maruah bangsa, agama dan negara."

Beliau adalah antara individu yang lantang mengkritik Najib selain Dr Mahathir sendiri. Sebelum ini Zainuddin turut meramalkan berlaku perubahan sokongan pengundi terhadap BN.

Selain Zainuddin, seorang lagi wartawan veteran yang lantang mengkritik Najib ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk A Kadir Jasin.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka memang dilihat sebagai penyokong kuat kepada Dr Mahathir dan sering melontarkan pandangan selaras dengan kecenderungan bekas perdana menteri berkenaan.

Antara isu besar yang menjadi 'peluru' Dr Mahathir dan penyokongnya ialah agensi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa menanggu kerugian besar setakat ini.

Pendedahan siri jualan tanah milik 1MDB kepada beberapa pihak termasuk Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pekerja dilihat menjadi tekanan terbaru kepada Najib untuk berundur.