Pihak pengurusan pasaraya di negara ini didakwa telah mencabul hak asasi pekerja mereka termasuk keengganan untuk membenarkan pekerja wanita Islam memakai tudung atau berpakaian menutup aurat.

Perkara tersebut dibangkitkan dalam satu dialog semalam di antara pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dengan wakil-wakil pasaraya yang turut dihadiri oleh dua pegawai yang mewakili Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Sumber Manusia.

Dialog tersebut dipengerusikan bersama oleh Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Dr Hamdan Adnan dan Datuk Siva Subramaniam. Dr Hamdan adalah Pengerusi Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suakam.

Kira-kira 12 isu yang dikaitkan dengan pencabulan hak asasi manusia telah dibangkitkan dalam dialog tersebut yang cuba diselesaikan melalui Suhakam dengan kepentingan kedua-dua belah pihak.

Antara isu-isu terbabit ialah keengganan pihak majikan untuk meluluskan sebarang permohonan cuti kepada kakitangan pasaraya atas alasan kekurangan pekerja yang tidak diatasi melalui pengambilan pekerja baru.

Majikan juga didakwa lewat membayar kenaikan gaji tahunan serta elaun pengangkutan dan elaun makan di samping keengganan majikan membayar gaji berganda kepada pekerja yang bekerja pada hari cuti perayaan.

Menurut kanyataan itu lagi, Dr Hamdan berkata, ada pekerja yang mendakwa pihak majikan membuat potongan gaji tanpa alasan yang munasabah.

Elaun pakaian

Pihak majikan juga didakwa memotong gaji pekerja yang mengambil cuti kecemasan tanpa kelulusan pihak pengurusan, tambahnya.

Di segi kemudahan perubatan pula, kata Dr Hamdan, ada pihak pengurusan pasaraya yang tidak mempunyai klinik penal untuk para pekerja mereka mendapat rawatan.

"Pekerja juga mendakwa mereka terpaksa bekerja semasa waktu berdiri yang amat panjang ketika bekerja selama 12 jam, manakala mereka tidak diberi peruntukan untuk pakaian seragam.

"Sebaliknya gaji mereka dipotong untuk menampung kos tersebut, selain berlaku pertukaran tempat kerja tanpa kerelaan pekerja terbabit," tambahnya.

Sehubungan itu, menurutnya, Suhakam menggesa agar semua majikan pasaraya supaya menghormati hak asasi pekerja mereka.

"Suhakam merasakan dialog tersebut telah memberi kesan positif di mana pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pencabulan hak asasi manusia tersebut.

"Suhakam telah diminta oleh mereka yang hadir di dialog tersebut supaya terus mengadakan dialog-dialog sebegini pada masa akan datang bagi mendapat kerjasama majikan-majikan pasaraya untuk turut sama," tambahnya.