'Umno perlu dapat perhatian generasi muda'

   

Umno perlu berusaha mendapatkan lebih perhatian daripada generasi muda, kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup.

Katanya, ia untuk Umno terus menjadi pilihan kerana golongan itu yang akan mengubah dan mengerakkan masa depan negara.

"Apa guna transformasi kalau tidak sampai kepada belia? Mereka perlu diutamakan untuk menggerakkan transformasi," katanya, lapor Bernama.

Manakala beberapa pemimpin parti komponen BN berharap semangat Umno yang menyatupadukan perlu terus dikekalkan.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata semangat Umno itu perlu diserapkan ke parti komponen Barisan Nasional termasuk MIC.

Senada dengannya, Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng menyifatkan sebuah parti yang kukuh seperti Umno perlu mendapat sokongan padu termasuk di peringkat kepimpinan dan kekal bersatu walau apa jua rintangan yang dihadapi.

    

Sementara itu, dalam menyahut seruan supaya Umno kekal relevan, rata-rata ahli parti berpendapat ini perlu dilakukan mengikut acuan dan selera transformasi masa kini untuk terus mendapat sokongan rakyat, di sebalik pelbagai isu dan kontroversi yang timbul.

Bercakap bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Umno ke-69 di ibunegara malam tadi, .Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jangkauan parti itu harus sampai ke setiap lapisan masyarakat termasuk mereka yang tidak menyokong dan juga di atas pagar.

Dari situ, program-program parti dan segala usaha yang dirancang akan diterima dan dilaksanakan untuk faedah semua pihak dan bukannya sesetengah pihak semata-mata, katanya yang juga menteri dalam negeri.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis itu antara lain meminta ahli parti sama-sama menjadikan Umno terus diterima masyarakat dan menanamkan benih kepercayaan bahawa dasar parti akan diterima baik anggota mahupun bukan anggota dengan acuan transformasi yang sesuai.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyanti Samsudin berkata jika ahli Umno sayangkan parti dan inginkan terus mendapatkan kepercayaan masyarakat, mereka perlu bersama-sama dengan kepimpinan walaupun diasak kiri dan kanan.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga menteri belia dan sukan berkata parti itu perlu berusaha lebih untuk terus kekal relevan dan menjadi pilihan kerana sokongan masyarakat Cina, baik terhadap parti dan Barisan Nasional, tidak begitu kukuh.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In