'Pembantu Rosmah jadi Don Quixote'
Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata, tindakan pembantu Datuk Seri Rosmah Mansor, Rizal Mansor mempertahankan isteri perdana menteri itu merupakan usaha yang tidak realistik.
Kadir malah mengumpamakan tindakan Rizal itu seperti Don Quixote, satu watak bangsawan yang berani tidak bertempat, seperti digambarkan dalam satu novel klasik Sepanyol.
Sedangkan, para penasihat PM sendiri sukar mempertahankan Najib, kata Kadir.
“Mengapa tiba-tiba sahaja, Encik Rizal menjadi Don Quixote perdana menteri? Kenapa tidak, atau di mana semua setiausaha akhbar PM, penasihat media dan perunding komunikasi?
“Di mana Pasukan Komunikasi Nasional (NCT) dan badan pemikir media yang dipimpin Mat Salleh? Kenapa mereka tidak pertahankan PM?” soal Kadir.
Rizal merupakan individu yang tampil mempertahankan Rosmah dalam isu perbelanjaan untuk majlis perkahwinan anak perdana menteri.
Rizal turut mendakwa Kadir tidak memahami adat Melayu kerana membangkitkan mengenai perbelanjaan untuk membawa 300 orang tetamu ke Kazakhstan.
Menurutnya, penasihat media Najib sendiri kini hanya sanggup menulis mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan nama samaran.
Ada juga yang menjalankan serangan peribadi ke atas para pengkritik, dan turut menjadikan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa orang pemimpin parti sebagai sasaran serangan, katanya.
Menurut bekas pengarang kumpulan NSTP itu, Muhyiddin dan kelompok pemimpin Umno ini dilihat tidak lagi menyokong perdana menteri.
Muhyiddin semalam menyatakan kebimbangan jika isu berhubung ketelusan kerajaan dalam menangani skandal seperti 1MDB akan menjejaskan imej parti.

