Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan di media sosial bahawa lima orang menteri akan digugurkan dari Kabinet dalam rombakan baru.

“Pejabat PM hari ini menafikan terdapatnya rombakan Kabinet seperti yang tertera dalam satu senarai yang tersebar di laman media sosial.

“Tidak ada perubahan dalam barisan kepimpinan kerajaan,” kenyataan PMO di Twitter dipetik.

Senarai yang dikesan tersebar sejak semalam mendakwa antara menteri yang akan digugurkan ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala and Datuk Seri Shahidan Kassim.

 

KENYATAAN MEDIA Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan terdapatnya rombakan Kabinet seperti yang tertera dalam...

Posted by PMO Malaysia on Tuesday, 12 May 2015

Selain itu, itu antara lainnya mendakwa Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan akan dilantik menjadi menteri penerangan Datuk Bung Moktar Radin akan menjadi menteri di kementerian perumahan dan kerajaan tempatan.

Desas-desus juga timbul bahawa Najib akan membuat rombakan Kabinet selepas beberapa pemimpin Umno menyatakan penentangan ke atas tindakan Tabung Haji membeli tanah daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pembelian itu dilihat sebagai langkah penyelamatan 1MDB hinggakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengaku sukar untuk menjelaskan isu berkenaan.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali pada minggu lalu mencadangkan agar Najib menggugurkan menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Beliau mencadangkan demikian kerana melihat para menteri tersebut tidak mampu mempertahankan Najib dalam isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan juga 1MDB.