KWAP: Tiada komitmen beli tanah 1MDB
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari ini mengesahkan bahawa ia sedang mengintai tanah milik 1MDB di zon Tun Razak Exchange (TRX), tetapi menegaskan bahawa sebarang keputusan akan berdasarkan kepada pertimbangan komersial.
Menurutnya, KWAP meninjau peluang pelaburan di TRX sepertimana dengan mana-mana pelaburan hartanah.
Keputusan untuk meninjau projek itu, tambahnya, adalah didorong oleh pertimbangan komersial berdasarkan lokasi strategik utamanya sebagai daerah kewangan Kuala Lumpur yang baru.
Bagaimanapun, KWAP tidak membuat sebarang komitmen pelaburan yang muktamad di TRX, katanya dalam satu emel kepada Malaysiakini.
Sehingga ini, tegasnya, tidak ada keputusan pelaburan yang muktamad telah dibuat mengenai projek tersebut.
Dalam kenyataan kedua yang dihantar kemudian malam ini, KWAP berkata ia tidak menandatangani sebarang perjanjian berkaitan dengan tanah di TRX.
"KWAP hari ini mengesahkan bahawa tidak ada komitmen pelaburan yang muktamad telah dibuat berkaitan tanah di TRX," katanya.
Semua pelaburan, tambahnya, perlu memenuhi pulangan pelaburan minimum kepada KWAP dan parameter risiko yang ditentukan oleh lembaga pengarahnya.
Katanya, KWAP sentiasa meninjau pelaburan hartanah domestik yang memenuhi mandat tabung itu yang memberikan pulangan yang mampan dalam jangka panjang.
Semalam, The Star melaporkan bahawa KWAP merancang untuk membeli tanah di TRX pada harga RM2,300 sekaki persegi untuk membina ibu pejabatnya yang baru.
Ini selepas Lembaga Tabung Haji membayar RM188.5 juta bagi tanah seluas 1.56 ekar daripada 70 ekar milik 1MDB di TRX.
1MDB membeli keseluruhan 70 ekar itu daripada kerajaan hanya dengan harga RM194.1 juta.

