Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan setuju prabayar 'RM10 dapat RM10'
Diterbitkan:  May 13, 2015 4:44 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Selepas kekusutan berkaitan harga selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kerajaan bersetuju dengan formula “beli RM10 dapat RM10” untuk harga tambah nilai prabayar telefon.

Jabatan Penerangan berkata kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu dan meminta syarikat telekomunikasi (telco) menurunkan tarif perkhidmatan.

“Kerajaan mahu pihak telco melaksanakan kaedah dan pendekatan ini sepenuhnya dalam tempoh enam bulan,” menurut tweet jabatan itu.

Jabatan penerangan juga menggesa telco menawarkan pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ( kiri ) pada 5 Mei lalu berkata beliau akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian tambah nilai prabayar telefon dengan formula 'beli RM10, dapat RM10'.

Ahmad Shabery, yang ditugaskan mengendalikan isu itu, mengakui wujud kekeliruan dan percanggahan kenyataan dalam isu itu, oleh yang demikian, beliau memohon maaf.

Pihak kastam sebelum ini mengarahkan telco menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kenyataan bahawa agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula sistem bagi menyelaraskan harga jualan.

Lihat Komen
ADS