Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Ogos untuk mendengar hujah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhubung sama ada undang-undang Islam adalah tertakluk kepada kebebasan asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peguam MAIWP, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata majlis itu telah mengambil pendirian berbeza dalam rayuan kes di mana seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin yang memohon untuk diterima masuk sebagai seorang peguam syarie dalam Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata dengan hujah baru yang tidak pernah dibangkitkan sebelum ini, kedua-dua responden (Martin) dan Jabatan Peguam Negara mahu mengkaji dan mengeluarkan penghujahan untuk 

dipertimbangkan berhubung isu itu.

Sementara itu, peguam Martin, Ranjit Singh berkata Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan pendengaran rayuan yang dikemukakan oleh MAIWP dan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dijadualkan hari ini.

"Ini adalah satu titik baru bagi kepentingan perlembagaan yang bersejarah," kata beliau sambil menambah bahawa penangguhan itu juga diberikan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara membuat keputusan mengenai pendiriannya berhubung isu itu.

Rayuan seterusnya adalah untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Khainur Aleeza Ismail yang menetapkan 13 Ogos untuk mendengar rayuan MAIWP dan Jabatan

Peguam Negara terhadap Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa peguam bukan Islam layak untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan, yang diketuai pada masa itu oleh hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Samah Nordin (kini hakim Mahkamah Persekutuan), mengisytiharkan Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Peguam

Syarie 1993 yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam Syariah adalah ultra vires dengan Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan semakan kehakiman oleh Martin, memutuskan bahawa MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menetapkan syarat bagi menerima peguam syarie.

Martin, 53, memperoleh Diploma Undang-Undang dan Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2004.

- Bernama