'Tampar Maslan' pula muncul, Ahmad kesal
Pereka permainan Android yang menampilkan watak mirip Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini melancarkan sebuah lagi permainan hampir sama dinamakan “Tampar Maslan” pula.
Permainan itu memberi peluang kepada pengguna telefon pintar yang kecewa dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menampar antagonis tidak dinamakan, tetapi mirip Ahmad.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Vnbox Trading and Services Sdn Bhd (Vnbox) memberitahu Malaysiakini bahawa permainan itu sebahagian idea pemasaran “viral” bagi mempopularkan perkhidmatan mereka.
Semalam, permainan menembak zombie menggunakan senapang dan lastik itu dinamakan “Maslan 3.85 extended version” ( atas ), dipercayai memperolok nilai Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) semasa menuntut, dikesan.
Diperkenalkan Vnbox Sdn yang beralamat di Ipoh, ia memaparkan watak zombie mirip Ahmad yang berpakaian compang-camping, bergigi rongok dan kepala pecah.
Di poket bajunya pula diletakkan tulisan GST.
Ahmad: Jangan hina ayah saya
Ahmad dalam tweetnya hari ini meminta orang awam dan pereka permainan itu tidak menghina bapanya.
“Ayah saya sudah tiada; tolong jangan hina dia. Maslan adalah seorang penoreh getah yang miskin dan buta huruf," tweet beliau hari ini.
Nama saya pun puak2 ini tidak tahu. Jangan hina arwah ayah saya, Maslan, seorng penoreh getah yg miskin & buta huruf.
pic.twitter.com/OsYpAlcINb
— Ahmad Maslan (@ahmadmaslan)
May 13, 2015
Vnbox bertegas bahawa watak dalam permainan mereka tiada kena mengena dengan Maslan.
“Walaupun spekulasi mengatakan permaitan ini dibuat khas kerana individu tertentu, namun telah dinyatakan di aplikasi tersebut, watak Maslan tiada kena mengena dengan mana-mana individu mahupun pihak berkaitan,” tegas beliau.
Vnbox turut menyatakan mereka mengeluarkan beberapa lagi aplikasi yang berkait isu-isu sosial pada masa akan datang.
Aplikasi tersebut tidak terhad kepada permainan, malah mereka telah pun merancang aplikasi kuiz dan interaktif untuk dilancarkan pada masa akan datang.
Beliau mengakui permainan zombie itu ditarik balik tengah malam semalam daripada tapak muat turun Google Play kerana sedikit masalah.
Ia bagaimanapun, kata syarikat itu lagi, dimasukkan semula hari ini setelah dibaiki.
“Sambutan sememangnya dijangka namun ia terlebih dahulu dipopularkan sebelum kami sempat melancarkannya secara tepat.
“Bagaimanapun ia tidak menghalang strategi asal kami,” kata beliau.

