Konflik kepentingan 1MDB-Takaful M'sia pula?
Kemungkinan terdapat lagi percanggahan kepentingan dalam 1MDB kerana seorang anggota lembaga pengarahnya juga bertindak sebagai pengerusi Takaful Malaysia Bhd, yang membeli bon RM85 daripada syarikat itu.
Anggota Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata Pengerusi Takaful Malaysia Datuk Ismee Ismail menjadi ahli lembaga pengarah 1MDB pada 23 Mac 2009, manakala isu pembelian bon Islam itu berlaku pada Mei yang sama.
Bagaimanapun, Zairil berkata, Ismee ( kiri ) hanya dilantik menjadi pengerusi Takaful Malaysia pada bulan Julai 2009.
"Bagaimanapun pelantikan Ismee sebagai pengerusi Takaful Malaysia berlaku beberapa bulan selepas pembelian bon Islam.
"Hakikatnya, Takaful Malaysia dikawal oleh BIMB Holdings melalui 60.31 peratus pegangan ekuiti manakala BIMB Holdings sendiri dimiliki dan dikawal oleh Lembaga Tabung Haji di mana Ismee menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan kumpulan sejak 2006.
"Dalam erti kata lain, Ismee adalah orang yang patut bertanggungjawab," katanya.
Zairil berkata lagi, perkara yang berlaku ini sama dengan kontroversi yang melanda Tabung Haji di mana badan tersebut telah membeli sebidang tanah daripada 1MDB sebelum ini.
Tabung Haji memutuskan untuk menjual semula tanah itu selepas kritikan keras daripada pelbagai pihak.

