Anak perdana menteri Nazifuddin Najib hari ini menjelaskan bahawa Sagajuta Sdn Bhd tiada kaitan dengan Ufun seperti diiklankan oleh skim Ponzi.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report hari ini melaporkan bahawa beliau masih mempunyai saham dalam 'syarikat yang mempunyai kaitan dengan Ufun' Sagajuta walaupun sudah berhenti sebagai pengerusi pada 2012.

Ufun, yang berdepan tindakan keras pihak berkuasa di Thailand, mendakwa Sagajuta membantu mengasaskan skim Ponzi.

”Tiada sebarang kaitan antara Sagajuta dan Ufun.

"Semasa saya ada di Sagajuta, saya juga tidak pernah bertemu seorang pun daripada Ufun,” kata Nazifuddin kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Katanya beliau pertama kali mendengar tentang kumpulan itu apabila diundang ke pelancaran usahasama Ufun dan syarikat pemaju terkenal Bina Puri Holdings Bhd.

“Pada mulanya saya fikir mahu pergi tetapi saya dengar mereka jual nama saya, (mereka) kata anak perdana menteri akan datang merasmikan pembangunan itu dan oleh itu orang ramai patut melabur dalam (matawang digital) Utoken Ufun.

“Ini sebabnya saya buat laporan polis,” katanya lagi.

Bangkok Post sebelum ini melaporkan bahawa polis Thailand menganggarkan Ufun, melalui skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan matawang Utoken, menipu 120,000 orang melibatkan wang RM4.1 bilion.

Wang digital itu dikatakan boleh digunakan untuk memberi barang dan mendapatkan perkhidmatan tertentu.

Ketika tanggapan polis lambat bertindak terhadap Ufun susulan Nazifuddin dikaitkan sama, beliau sendiri sebenarnya masih menunggu perkembangan berhubung laporannya pada Ufun yang dibuat hampir tiga tahun lalu.

[Baca berita asal]