Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warung sedia sarapan percuma setiap Jumaat
Diterbitkan:  May 15, 2015 2:36 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Sebuah warung di Gong Badak di Kuala Terengganu menjadi tumpuan orang ramai kerana menyediakan hidangan sarapan pagi secara percuma pada setiap Jumaat.

Warung Kencana D Rimba itu yang mula beroperasi pada November tahun lepas menyediakan antara 200 hingga 250 keping roti canai, nasi dagang, nasi minyak dan mi goreng setiap pagi Jumaat.

Pemilik warung, Azmahadi Ismail, 43, bersama isterinya, Nik Mariati Nik Hitam, 38, ketika ditemui Bernama berkata makan secara percuma itu adalah inisiatif mereka untuk membantu meringankan beban kewangan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah di sekitar kawasan itu.

"Usaha kami ini turut mendapat sokongan dari rakan terdekat dan komuniti setempat, malah mereka turut menyumbang bahan mentah seperti tepung, gula, bahan masakan dan minuman untuk disedekahkan setiap pagi Jumaat.

"Memang pada awalnya, ramai yang seakan tidak percaya dengan apa yang kami buat, namun saya percaya rezeki milik Allah dan kita tidak perlu gusar kerana yang penting niat kita ikhlas untuk membantu orang lain," katanya.

Beliau yang pernah bekerja secara kontrak dengan syarikat petroleum di Kemaman sebelum ini mengakui pernah hidup mewah dan pernah merasai kehidupan yang perit setelah mengalami masalah kewangan beberapa tahun lalu.

"Kemudian, saya berhenti kerja dan mula berniaga warung di Kemaman sebelum berpindah ke Gong Badak tahun lepas.

"Sejak itu lah saya berniat mahu menjamu makan sarapan pagi secara percuma kepada pelanggan yang datang ke warung kerana saya faham kesusahan orang dan betapa bersyukurnya jika mendapat bantuan atau rezeki yang tidak diduga," katanya.

Tinjauan Bernama ke warungnya mendapati roti canai yang disediakan habis dalam masa hanya dua jam manakala hidangan lain seperti mi goreng, nasi minyak dan nasi dagang pula ada yang disumbangkan oleh kawan-kawannya untuk bersedekah pada pagi Jumaat.

Bagi Nik Mariati pula, memang ramai pelanggan yang pertama kali datang ke warung itu akan terkejut apabila diberitahu makanan yang disediakan adalah percuma.

"Jika pelanggan masih mahu membayar, saya akan minta mereka sedekahkan di tabung yang saya dan kawan-kawan sediakan.

"Hasil kutipan tabung ini pula, kami akan berikan kepada golongan yang memerlukan seperti pesakit kronik, ibu tunggal dan orang miskin di sekitar kawasan ini," katanya.

Seorang pelanggan, Murshid Othman, 39, berkata beliau terkejut apabila pemilik warung berkenaan memaklumkan tidak perlu membayar sarapan pagi yang dinikmatinya hari ini.

"Saya dari Batu Rakit, dalam perjalanan ke Marang, tapi kalau di Terengganu ni, agak sukar nak cari kedai makan pada hari Jumaat sebab cuti umum, jadi singgah di sini sebab tengok ramai pelanggan.

"Tak sangka pula, pemilik warung ini berhati mulia dan saya berharap lebih ramai peniaga yang pemurah seperti beliau, sanggup bersedekah walau harga barangan semakin mahal ketika ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS