Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menggesa masyarakat Buddha menyatakan kecaman ke atas kekejaman yang dilakukan terhadap orang Islam di Burma.

Katanya, krisis kemanusiaan di negara itu sememangnya berpunca dari tindakan pelampau Buddha yang perlu dikecam.

Beliau juga hairan kerana masyarakat dunia tidak menyifatkan kekejaman terhadap ribuan umat Islam tersebut sebagai perbuatan pelampau Buddha.

“Tidak pula dunia menyatakan itu merupakan ekstremis Buddha ataupun ajaran Buddha itu menyeru kepada keganasan.

“Mereka hanya mengaitkan Islam dengan keganasan tapi mendiamkan diri apabila muslim dibunuh dengan zalimnya.

“Adakah penganut Buddha dalam negara ini yang membantah apa yang berlaku di Burma?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau berharap, pemimpin agama Buddha akan dapat menyatakan kecaman, sepertimana yang akan dilakukan oleh pemimpin Islam bagi membantah keganasan dari kelompok muslim.

“Ulama Islam sering membantah tindakan salah ataupun ganas jika dilakukan oleh kelompok muslim sebagai tanda Islam tidak boleh dikaitkan dengan keganasan.

“Namun, kita jarang mendengar bantahan tokoh -tokoh agama lain seperti Buddha mengenai apa yang dilakukan oleh penganut mereka. Harap mereka juga ada sikap tegas,” katanya.

Sekurang-kurangnya 8,000 orang dari wilayah Rakhine, Burma dan Timur Bangladesh dianggarkan masih dihanyutkan dalam bot di Laut Andaman.

Pihak berkuasa Malaysia, Thai dan Indonesia enggan membenarkan bot ini mendarat dan turut menahan individu yang berjaya sampai ke daratan.

Pihak berkuasa negara ini juga dilaporkan turut menghantar bantuan kemanusiaan dan membaiki bot untuk membolehkan para pelarian itu pulang ke tempat asal mereka.