Hasan Malek: Obama pandang tinggi Najib
Walaupun berdepan banyak kritikan dalaman akhir-akhir ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan dilihat dari kaca mata berbeza di luar negara, terutama di kalangan pemimpin-pemimpin dunia.
Sebagai contoh, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memandang tinggi kepimpinan Najib.
“Kita berada di peringkat antarabangsa. Dunia tahu kita. Dan dunia juga mengiktiraf kepimpinan negara kita, Najib. Sama ada kamu suka atau tidak, itulah hakikatnya.
“Obama mempunyai pandangan tinggi kepada kepimpinan YB Datuk Seri (Najib).
Katanya, begitu juga dengan pemimpin lain seperti Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin.
“Mereka semua ini pemimpin dunia,” katanya lagi.
Hasan berucap demikian dalam majlis tandangan ikrar integriti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya pemimpin dunia mengakui bahawa kepimpinan Malaysia memastikan keperluan rakyat disalurkan sebaiknya.

