Berdepan dengan satu lagi protes terhadap pembinaan tempat ibadat kaum minoriti, kerajaan negeri Selangor sekali lagi berjanji untuk melindungi hak mereka.

Menteri Besar Azmin Ali berkata adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk mendengar dan melibatkan orang ramai sebelum memutuskan sesuatu penyelesaian.

Ini selepas penduduk Islam di Puncak Alam, Kuala Selangor dilaporkan membantah pembinaan sebuah kuil Hindu, dengan mendakwa ia adalah kawasan majoriti  orang Islam.

Sekurang-kurangnya 300 orang berkumpul di tapak pembinaan kuil itu kerana tidak puas hati dengan kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat yang didakwa meluluskan projek itu tanpa berunding dengan penduduk, lapor Malay Mail Online .

"Ini adalah sebahagian daripada dasar kerajaan Selangor untuk melindungi golongan minoriti, dan ini termasuk tempat ibadat dan pusat kebudayaan [...], kami akan berbincang untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi memastikan hak mereka sebagai rakyat Selangor dilindungi," kata Azmin dalam sidang akhbar di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut sehingga mendapat maklumat penuh mengenai protes itu.

Menurutnya, terdapat banyak protes dan memorandum yang diterima oleh kerajaan negeri tetapi pihaknya sentiasa mendengar rungutan orang ramai dan pihak yang berkepentingan.

Azmin berkata pihaknya akan melihat bagaimana isu itu boleh diselesaikan secara baik.

Exco kanan Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata konsultasi awam mesti dilakukan sebelum mana-mana tanah diwartakan untuk tujuan pembinaan.

Katanya, jika ia dalam proses pewartaan, maka konsultasi sepatutnya telah dilakukan.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menyemak butiran mengenainya.

Pengerusi bersama jawatankuasa negeri bagi hal ehwal bukan Islam (Hesi), Elizabeth Wong ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau tidak tahu mengenai protes itu dan akan mendapatkan maklumat mengenainya.

Selangor juga berdepan dengan laporan polis yang mendakwa ia dirobohkan Kuil Sri Madhurai Veeran di Seksyen 17.

Menurut ahli majlis tertinggi Hindraf, P Sivalingam, kuil itu dirobohkan pada awal pagi 13 Mei oleh kira-kira 50 anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam satu kenyataan, Sivalingam berkata, pihaknya menuntut kerajaan mengembalikan lima patung dewa yang dirampas.

Bagaimanapun, MBPJ memberitahu Star Metro bahawa jawatankuasa kuil tersebut tidak mempunyai hak milik tanah itu dan kuil itu dirobohkan selepas ia gagal mematuhi arahan untuk mengosongkannya.

Pada 19 April, kira-kira 50 orang menyertai protes di sebuah gereja Taman Medan, menuntut supaya ia menurunkan salib di premis itu kerana mendakwa ia mengganggu orang Islam.

Protes itu mengundang kritikan meluas, termasuk daripada ahli politik BN dan Pakatan.

[Baca berita penuh/asal]