Seorang lelaki yang gagal bertanding dalam pilihanraya kecil Ba'Kelalan kerana pencalonannya ditolak disebabkan tidak mempunyai pencadang, mendakwa orang yang sepatut menjadi pencadangnya itu telah diculik.

"Dia dibawa lari secara kasar oleh seseorang yang memakai baju PBB (Parti Pesaka Bumiputera Sarawak)," kata Mohamad @ Budin Brahim kepada pemberita di luar Dewan Masyarakat Lawas yang merupakan pusat penamaan calon yang berlangsung hari ini.

Menurut Bernama , Mohamad, 39, yang memasuki dewan itu 10 minit sebelum tempoh pencalonan ditutup pada 10 pagi tadi, keluar semula beberapa minit kemudian dalam keadaan sugul.

Menurutnya kejadian itu berlaku ketika beliau bersama pencadangnya Jeffery Ishak Padan dan penyokongnya Asi Asai dalam perjalanan ke pusat penamaan calon.

"Jeffery sebelum itu bertemu isterinya dan bila dia mahu masuk ke kereta, ada dua orang menarik dia dan Asi. Saya sempat menarik balik Asi tetapi Jeffery dilarikan," katanya.

Berikutan itu, katanya, beliau gagal mengemukakan pencadang menyebabkan borang pencalonannya ditolak.

Tarik diri

Mohamad berkata beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Satu lagi pencalonan iaitu daripada Frank Samuel Agong, turut ditolak juga kerana gagal mengemukakan pencadang setelah nama pencadang asal yang dikemukakannya tidak terdapat dalam senarai pengundi.

Seorang lagi yang juga ingin bertanding, Wilson Lio, menarik diri di saat-saat akhir.

Pilihanraya kecil itu adalah antara Nelson Balang Rining, 48, dari Barisan Nasional, dan Baru Bian, 46, seorang calon Bebas. Pengundian ialah pada 18 Sept ini.

Ia diadakan berikutan kematian menteri muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Dr Judson Sakai Tagal, dalam nahas helikopter di kaki Gunung Murud dekat sini pada 12 Julai lepas.

Mendiang Dr Judson telah memenangi kerusi itu tanpa bertanding dalam dua pilihan raya iaitu pada 1996 dan 2001.

Ba'Kelalan mempunyai 7,696 pengundi berdaftar termasuk dua pengundi pos yang merupakan anggota polis.