Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ustaz muda Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang berhempas pulas menuntut kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri Selangor akhirnya menerima surat pemecatan semalam.

Ekhsan bagaimanapun berkata keputusan itu tidak membantutkan semangatnya dan beliau akan “bangkit dan terus melawan”.

“Saya akan akhiri amanah di sekolah ini dengan bersemangat dan akan saya ajari apa itu ilmu, apa itu sekolah dan apa itu guru kepada murid.

“Saya ada peraturan hidup sendiri. Bukan tersungkur apabila jatuh tetapi berhenti seketika menghela nafas yang panjang untuk bangkit dan terus melawan.

“Sekali-kali saya tidak akan memilih jalan yang buntu jika ini adalah permulaan hidup saya,” katanya di Facebook.

Ekhsan ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu dan surat pemecatan yang diterimanya berkuatkuasa pada 1 Jun ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana mahu mengadakan sidang akhbar esok pagi di Pintu Pagar utama Bangunan SUK Negeri Selangor, Shah Alam.

Ekhsan sebelum ini mencetuskan drama kerana menangis ketika dihalang bertemu wakil rakyat Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Selangor) ketika mahu menuntut janji manifesto mereka.

Rentetan itu, beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan media tanpa kebenaran dan menimbulkan kekecohan di dewan negeri Selangor, selain menimbulkan provokasi kepada jabatan tersebut.

Ekhsan mahukan Menteri Besar Selangor Azmin Ali menaikkan elaun daripada RM1,212 kepada RM1,500 seperti dijanjikan.

Lihat Komen
ADS