Pakatan Rakyat menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Fiskal Parlimen bagi menjamin pemantauan dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke (RMK) 11 melalui bajet tahunan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail khuatir dengan kepimpinan dan pendekatan sekarang, gagal mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selama empat tahun pada RMK10.

"Saya juga khuatir dengan impak sebenar RMK10 yang lalu dan RMK11 nanti ke atas kehidupan dan kesejahteraan rakyat terbanyak.

"Sebagai salah satu contoh dalam RMK10 dahulu ada menyebut 1MDB akan menguntungkan rakyat dan pada RMK11, kita akan dapat menilai kesan 1MDB menguntungkan siapa sebenarnya dan juga bagaimana pula GST yang dikutip akan dibelanjakan.

"Saya juga khuatir bagaimanakah pendekatan terbaik untuk merapatkan jurang pendapatan," katanya yang juga MP Permatang Pauh dalam satu kenyataan.

Menyambut baik hasrat kerajaaan mahu negara berpendapatan tinggi pada 2020, Dr Wan Azizah berkata pihaknya akan meneliti cadangan RMK11 perlu berdasarkan prinsip tatakelola pemerintahan yang inklusif, telus, bebas rasuah dan ketirisan serta berimpak tinggi kepada rakyat.

"Pelonjak Akhir atau ‘Final Lap’ ke Wawasan 2020 memerlukan ‘Final Sprint’ dengan meluaskan demokrasi dan bukan menyempitkan demokrasi agar semua rakyat Malaysia akan dapat sampai ke garis penamat Wawasan 2020," katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata anggota parlimen Pakatan akan membuat analisa,  mengupas RMK11 serta memberikan pandangan serta cadangan yang sewajarnya dalam masa perbahasan yang lebih konstraktif.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan RMK11 dengan menjadikan rakyat menjadi tunjang serta keutamaan dalam semua usaha pembangunan negara bagi memacu negara dalam tempoh lima tahun terakhir menuju status negara maju pada 2020.

Beliau, berkata RMK11 memberi tumpuan terhadap penyampaian hasil berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat dengan kos berpatutan.