Pergerakan Wania Umno turut menolak kemasukan semula bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno kerana beliau telah banyak menimbulkan masalah dalam Umno dan menentang pucuk pimpinan parti dan kerajaan.

Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz menegaskan, tidak wajar Anwar diterima semula ke dalam Umno kerana beliau kuat menentang Umno dan perjuangannya pula merupakan perjuangan individu.

Oleh itu, katanya, Wanita Umno berpendirian tegas tidak menerima Anwar kerana ia komited kepada perjuangan Umno yang mendukung objektif besar orang Melayu, rakyat Malaysia dan negara.

"Kita tidak boleh menerima perjuangan peribadi oleh sesiapa juga... ini adalah perjuangan parti yang mempunyai agenda yang lebih besar daripada kepentingan seorang individu," Bernama melaporkan beliau sebagai berkata kepada pemberita.

Sebelum itu, Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, merasmikan bangunan baru kilang Calsonic Compressor (Malaysia) Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Umno juga menolak segala usaha untuk membawa masuk Anwar kembali ke dalam Umno.

Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menjelaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang tawar-menawar dengan Anwar untuk membawanya semula ke dalam Umno.

Pakatan

Menurut Abdullah, beliau juga telah menjelaskan perkara itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu dan kepada para Menteri Besar selepas membentangkan bajet 2005 lalu.

Khabar angin bertiup kencang mengenai kemungkinan wujudnya pakatan di antara Anwar dan Abdullah, termasuk peluang Anwar kembali semula ke pangkuan Umno, yang membawa kepada pembebasannya daripada tuduhan liwat oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini

Anwar juga menafikan khabar angin mengenai wujudnya sebarang pakatan dengan Abdullah berhubung soal pembebasannya mahupun membawanya semula ke dalam Umno.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataannya semalam, Anwar berkata, beliau menyedari wujudnya unsur-unsur di kalangan segelintir pimpinan Umno dan media yang sengaja menimbulkan isu dan tohmahan untuk mengeruhkan suasana.

Semalam, Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh juga mendakwa terdapat bekas pemimpin dan ahli parti Keadilan dalam Umno yang cuba membawa masuk Anwar kembali kepada Umno.

Menurutnya, mereka ini masih masih setia kepada Anwar dan sering bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum dan selepas beliau dibebaskan.

Ahli biasa

Sementara Rafidah berkata Anwar telah menentang bukan saja pucuk pimpinan, tetapi yang mustahaknya menentang apa yang Umno buat sekian lama, yang beliau sendiri bersama-sama dalam merumuskan dasar-dasar Umno.

"(Anwar) juga menentang dasar parti dan kerajaan ... seolah-olah menidakkan peranan beliau dalam segala dasar yang kita buat, dalam segala pembaharuan yang kita buat," katanya.

Rafidah berkata Wanita Umno sependapat dengan Abdullah dalam hal ini dan amat sukar untuk pergerakan itu menerima Anwar kembali ke dalam Umno walaupun hanya sebagai ahli biasa.

Wanita Umno tidak perlu membuat sebarang usul mengenai perkara itu kerana ia telah jelas daripada komitmen Wanita Umno kepada perjuangan parti, katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Abdullah, yang juga Pemangku Presiden Umno, bahawa beliau tidak berhasrat membawa Anwar kembali ke dalam Umno kerana percaya ahli Umno juga tidak berminat untuk menerima semula Anwar.