Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendakwa kemungkinan berlakunya penyelewengan yang besar dalam pembelian dua bangunan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang perlu disiasat oleh polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) mendesak supaya laporan Ketua Audit Negara berkaitan perkara tersebut yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu, tidak hanya sekadar prosedur audit semata-mata.

"Tetapi penyelewengan dan ketidaktelusan ini perlu segera diambil perhatian oleh BPR dan pihak polis untuk disiasat dan diambil tindakan tegas berikutan kerugian yang tidak munasabah itu," kata Teras dan Impak dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani bersama oleh Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Impak Haji Mahfuz Omar.

Laporan Ketua Audit Negara untuk Badan Berkanun Persekutuan 2003 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas mendedahkan, TH membayar RM436.38 juta untuk membeli bangunan TH Perdana dan TH Selborn RM168.46 juta lebih tinggi daripada penilaian oleh jurunilai yang dilantik.

Sebaliknya, harga yang dinilaikan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan untuk kedua-dua bangunan yang terletak di Kuala Lumpur hanya RM267.92.

Pengurusan lama

Ini bermakna, badan itu membayar 62.87 peratus lebih tinggi daripada harga yang dinilaikan kepada pemilik asal kedua-dua bangunan berkenaan.

Dan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Mohd Bakke Salleh berkata, pembelian tersebut dilakukan pada tahun 1998 oleh pengurusan lama dan ia tidak seharusnya menggambarkan kredibiliti pengurusan sekarang.

Utusan Malaysia memetik Mohd Bakke sebagai berkata memandangkan kedua-dua bangunan tersebut dibeli pada tahun 1998, maka isu itu tidak seharusnya dibebankan kepada pengurusan sekarang.

Sebaliknya, kata Mohd Bakke, kredibiliti TH sekarang terbukti kukuh setelah berikutan penstrukturan semula pada 2001, termasuk menukar ahli lembaga pengarah dan menubuhkan panel pelaburan berkepakaran bagi memastikan TH benar-benar kukuh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya pendeposit agar tidak ragu-ragu untuk terus menyimpan.

Mengulas perkara itu, Teras dan Impak, ianya bukan isu meletakkan bebanan kepada pengurusan TH sekarang, tetapi lebih penting ialah menyiasat dan mencari punci berlakunya kerugian RM168.46 juta wang TH yang tidak boleh dibiarkan tanpa mengambil tindakan sepatutnya.

Kerugian

"Kerugian itu bukan sahaja memeranjatkan para pendeposit TH, bahkan seluruh rakyat yang sensitif dengan penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa," kata mereka sambil merujuk kepada kes kehilangan RM7.725 wang pendeposit TH pada 2001.

"Selepas didedahkan pada 20 Mac 2002 bahawa TH kerugian RM281 juta akibat penyelewengan dalam pelaburan dan salahlabur, jika dijumlah segala kerugian lembaga itu setakat ini telah mencecah RM457.185 juta," tegas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Teras dan Impak mendesak supaya lembaga pengurusan TH sama ada yang lalu atau yang sedang berkhidmat, perlu mengambil tanggungjawab di atas kerugian wang rakyat itu.

"Lembaga pengurusan lalu perlu segera menjawab dan mendedahkan perkara sebenar berkaitan kerugian ini.

"Manakala pihak lembaga tertinggi pengurusan TH sekarang perlu memberi kerjasama untuk memastikan penyelewengan ini dibongkar oleh pihak berkuasa untuk diambil tindakan undang-undang dengan segera," tambah kenyataan itu.

Teras dan Impak juga mahu Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH supaya segera mengambil tindakan tegas untuk memastikan perkara itu diselesaikan segera dan memastikan ia tidak berulang lagi di masa depan.

"Kekesalan, kemarahan dan malu yang ditanggung oleh rakyat akibat segelintir manusia yang tidak amanah menjaga harta rakyat dan negara perlu dibersihkan segera oleh TH yang menjadi aset kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini," tambahnya.