Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kesalahan salahguna kuasa, telah menutup pintu untuk Timbalan Perdana Menteri itu, terus kembali aktif dalam politik tanahair.

Pada tahun 1999, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Anwar bersalah atas tuduhan salahguna kuasa dan menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atasnya. Beliau selesai menjalani hukuman tersebut pada 14 April tahun lalu.

Anwar didakwa atas tuduhan tersebut kerana campurtangan dalam siasatan polis berhubung tuduhan salahlaku seks terhadapnya.

Beliau didakwa telah mengarahkan pihak polis supaya mendapatkan surat menarik balik pengakuan daripada dua saksi utama, Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

Anwar telah menafikan semua dakwaan tersebut, dengan mendakwa ianya merupakan satu konspirasi politik dan turut menuduh pihak kehakiman 'mengikut telunjuk' pihak berkuasa.

Sementara itu, penal hakim Mahkamah Persekutuan hari ini Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malek Ahmad dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Siti Norma Yaakob and Datuk Alauddin Mohd Sherif sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.

Dalam keputusannya, mereka sebulat suara bersetuju bahawa sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Anwar adalah betul.

Tunggu

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini ditunggu-tunggu oleh penyokong-penyokong Anwar selepas mahkamah yang sama, pada 2 September lalu, membebaskan beliau selepas membatalkan sabitan dan hukuman sembilan tahun penjara bagi kesalahan liwat.

Dengan keputusan ini, Anwar perlu menunggu sehingga 14 April 2008 untuk membolehkannya aktif semula dalam politik tanahair, sepertimana yang diperuntukan di bawah undang-undang.

"Selepas memberi pertimbangan sewajarnya terhadap empat usul yang dikemukakan, kami mendapati tidak ada merit untuk menggunakan kuasa kami di bawah peraturan 137 Mahkamah Persekutuan (untuk menyemak semula kes ini)," kata Alaudin ketika membaca keputusan mahkamah bagi pihak yang penal hakim.

Penal hakim juga menolak percubaan Anwar untuk mengaitkan rayuannya dengan kes menghina mahkamah terhadap salah seorang peguamnya, Zainur Zakaria kerana menuduh ketua pendakwaraya cuba mengada-adakan bukti terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Berikutan itu, Zainur telah dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara oleh hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Augustine Paul, tetapi hukuman tersebut kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Kami ingin mengulangi bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes menghina mahkamah terhadap Zainur itu, tidak ada kaitan dengan kes salahguna kuasa ini. Dengan mengemukakan alasan-alasan baru, ianya merupakan satu percubaan di pihak pemohon (Anwar) supaya isu itu didengar semula, yang mana telahpun diselesaikan," kata Alauddin.

Anwar kini sedang menjalani rawatan lanjut selepas pembedahan kecederaan di bahagian tulang belakangnya di Munich, Jerman.