Hanipa sebak kenang insiden 2004
Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Hanipa Maidin menitiskan air mata ketika mengenangkan bantuan pernah diberikan kepadanya oleh salah seorang kakitangan ibu pejabat parti itu, Syed Mohamad Syed Hassan.
"Selepas pilihan raya umum 2004, selama dua minggu kami peguam PAS berkurung dalam sebuah bilik di Taman Melewar (untuk menyediakan petisyen pilihan raya).
"Apa yang ramai tak tahu, orang yang banyak membantu kami ialah Allahyarham Syed Mohamad.
"Beliau membawakan kopi untuk kami pada waktu malam," katanya sebelum terhenti selama kira-kira seminit dan kelihat menangis teresak-esak.
Selepas itu para perwakilan bertakbir, manakala Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz kemudian menghampiri Hanipa sebelum memberikan sekotak tisu kepada ahli parlimen Sepang itu.
Pengerusi Tetap Husin Ismail pula menenangkan Hanipa dengan mengatakan: "Tak apa, tuan haji (Hanipa) ambil masa."
Syed Mohamad adalah kakitangan pejabat PAS yang meninggal dunia pada Januari 2012.
Beliau dikatakan sebagai seorang wira tak didendang dalam PAS.
Kemudian, selepas reda Hanipa menyambung ucapannya dengan menceritakan Syed Mohamad - atau dikenali sebagai Pak Syed - telah membantu beliau bersama rakan peguam PAS yang lain untuk memudahkan urusan mereka menyiapkan petisyen.
Garang tapi lembut hati
Tidak sampai seminit, Hanipa sekali lagi sebak dan menamatkan ucapannya dengan mengharapkan supaya Lajnah Guaman PAS akan terus membantu parti.
"Minta maaf saya tak boleh nak cakap lagi. Saya harap Lajnah Guaman dapat terus membantu parti," kata Hanipa.
Turut kelihatan sebak ialah Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Selepas itu, Husin kemudian cuba memeriahkan suasana muktamar dengan mengatakan bahawa Hanipa seorang yang berhati lembut walaupun dilihat "bergegar" ketika berucap.
"Walaupun tengok bergegar dalam perbahasan, tapi hati dia lembut. Hari ini bukan hari untuk ucapan perpisahan tetapi hari ini hari untuk mengolah suasana dan menggalas perjuangan dan saya rasa insya-Allah ke arah memperkasakan perjuangan Islam," katanya.
Hanipa adalah salah seorang pemimpin progresif yang disingkirkan kumpulan konservatif dalam pemilihan PAS kelmarin.
Beliau dikenali sebagai peguam yang banyak membantu PAS dalam kes mahkamah, tetapi disorak dan diejek dalam muktamar semalam.

