Umno gantung keahlian 12 lagi, termasuk Exco Melaka
Seramai 12 lagi ahli Umno digantung keanggotaan selama tiga tahun atau sepenggal tempoh pemilihan parti kerana terbabit dalam politik wang, termasuk Ahli Exco Melaka, Datuk Wira Amid Nordin.
Seramai 12 lagi ahli Umno digantung keanggotaan selama tiga tahun atau sepenggal tempoh pemilihan parti kerana terbabit dalam politik wang, termasuk Ahli Exco Melaka, Datuk Wira Amid Nordin.
Amid yang merupakan pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri adalah juga Ketua Umno Bahagian Kota Melaka.
Menurut
Bernama
, Ketua Pemuda Putrajaya Ahmad Zaki Zahid yang turut didapati bersalah kerana terbabit dalam politik wang dan tata etika pemilihan parti, hanya diberi amaran.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, ketika ditanya mengapa mereka yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang, hanya diberi amaran, berkata:"Biarlah hukuman itu menepati jenayah yang dilakukan."
Dengan itu, sejumlah 22 orang disabitkan kesalahan dan digantung keahlian mereka, manakala 11 lagi diberi amaran.
Dalam keputusan semalam, selain Adib, turut digantung keahlian ialah Ahmad S Nizam Surib (Bahagian Putrajaya); Gurahman Lolong (Ketua Pemuda Kudat); Hamzah Janang (Naib Ketua Bahagian Sepanggar); Abdul Rahman Mohamed Nor (anggota jawatankuasa Bahagian Tenggara); dan Ahmad Pauzi Abdul Manan (Bahagian Titiwangsa).
Enam lagi ialah Abidin Kabasalan; Shim Dougal; Eddy Wedley; Maeyah Majid; Abina Saad; dan Sabeia Hassan - kesemuanya dari Bahagian Silam dan merupakan pengadu tetapi mengaku menerima wang semasa pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.
Kesalahan
Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, buat pertama kali Umno menggantung keanggotaan pengadu dalam kes yang berkaitan, selama tiga tahun atau sepenggal, kerana turut mengaku menerima wang.
Beliau memberitahu pemberita semalam bahawa lapan orang ahli lagi didapati bersalah tetapi diberi amaran kerana terbabit dalam politik wang dan tata etika pemilihan parti.
Selain Ahmad Zaki, yang lainnya ialah Awang Nasrin Awang Hussin (Bahagian Kudat); Timbalan Ketua Bahagian Kota Melaka Datuk Latif Tamby Chik dan Sharin Darus, Mohamed Ariff Mohamed Aziz, Azman Abdul Majid, Asaari Ismail serta Azman Miharmat kesemuanya dari Bahagian Titiwangsa.
Menurut Tengku Rithauddeen lagi kebanyakan kesalahan mereka yang dikenakan digantung dan diberi amaran,membabitkan perbuatan memberi atau menerima atau membenar wang bagi pihaknya.
Mereka juga didapati bersalah kerana menjadi pelobi, ejen, pengurus kempen dan perayu undi bagi calon serta menganjur majlis dan pertemuan.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci mengenai tuduhan yang dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah dan digantung serta yang diberi amaran.
Tidak bersalah
Ahmad Rithauddeen berkata Lembaga Disiplin mendapati 19 lagi anggota tidak bersalah terhadap tuduhan terbabit dalam politik wang atau melanggar tata etika pemilihan.
Mereka ialah Marzita Mansor (Ketua Puteri Kangar); Jainab @ Zainab Ahmad (Ketua Wanita Sepanggar); Datuk Izudin Ishak (Ketua Pemuda Setiawangsa); Suhaimi Khalid (Ketua Pemuda Tenggara); Rohana Ahmad, Zabidah Yusuff, Hamidah Mamat, Saudah Awang Lah, Rosliza Deraman, Normah Mahmud, Che Rohaya Che Yusoff, Hapsah Awang, kesemuanya daripada Bahagian Tanah Merah.
Yang lain ialah Abdul Razak Abdul Rahman (Bahagian Kota Melaka), Ashakari Abu Noor (Ketua Pemuda Kota Melaka); Datuk Hilmi Abdul Rashid (Timbalan Ketua Bahagian Kepala Batas); Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (Ketua Bahagian Pasir Mas), Mohamed Mustamam Che Yusof dan Mohamed Abdoh Abdul Hamid (kedua-duanya anggota Jawatankuasa Bahagian Pasir Mas) serta Razali Saad juga dari Bahagian Pasir Mas.
Ahmad Rithauddeen berkata sejumlah 402 aduan salah laku tata etika dikemukakan kepada Lembaga Disiplin.
Daripada jumlah itu sebanyak 161 kes tiada tindakan lanjut; 140 kes melibatkan aduan yang memerlukan dokumen tambahan; sejumlah 34 aduan dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan Negeri manakala 109 kes telah dibicarakan sehingga kini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.