Bekas ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Hatta Ramli hari ini mendedahkan, individu yang menuduhnya mengetuai gerakan menjatuhkan presiden tidak pernah menghadirkan diri ketika dipanggil jawatankuasa siasatan.

Malah Pengerusi Lajnah Pilihan Raya PAS itu berkata, pihak yang menuduhnya - Ketua Pemuda PAS Kuantan -  bukan saja gagal hadir untuk kali pertama, malah pada kesempatan kedua diberi jawatankuasa terbabit.

"Selepas empat bulan, akhirnya jawatankuasa ini yang dibentuk memanggil penuduh. Panggil Ketua Pemuda PAS Kuantan dan saya untuk mendapatkan maklumat bagi penyiasatan.

"Tapi penuduh tak datang dengan alasan tak yakin pada enam orang jawatankuasa yang lakukan penyiasatan.

"Jadi bila tak datang buat kali kedua, keputusan (siasatan) tergantung," katanya ketika berucap di sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor.

Selain itu, Dr Hatta juga melahirkan rasa kecewanya apabila pihak yang menuduhnya itu tidak dikenakan sebarang tindakan.

Secara sinis, Hatta juga mengatakan bahawa disebabkan isu tersebut beliau kini mengalami kekalahan dalam pemilihan parti.

"Sepatutnya penuduh itu diambil tindakan tapi saya tak desak ahli jawatankuasa PAS ambil tindakan, jadi (kes) ini tergantung begitu," katanya lagi.

Februari lalu penyokong presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkumpul di depan ibu pejabat parti di Kuala Lumpur dan mengadakan bantahan terhadap gerakan yang didakwa mahu menjatuhkan Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Bantahan itu diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan Fadhli Ibrahim.

Sehubungan itu, Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menasihati seluruh anggota parti supaya tidak terlalu "teruja" sekiranya mendapat laporan yang berkaitan aplikasi WhatsApp .

Ini kerana, perkara tersebut kemungkinan tidak benar dan hanya disebarkan melalui mesej aplikasi tersebut.  

"Saya bukan nak membela diri atau apa-apa. Saya cuma nak minta jangan terlalu teruja dengan WhatsApp . Dah la yang jadi admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp saya tak kenal. Jadi terpulang kalau nak teruskan lagi (menuduh), teruskan," katanya lagi.