Najib disabotaj pembantu sendiri?
Majlis dialog Nothing2Hide antara Datuk Seri Najib Razak dan pertubuhan bukan kerajaan semalam 'digagalkan' oleh pembantu perdana menteri itu sendiri, dakwa penganjur.
Pengerusi Pertubuhan Sukarela Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata pembantu Najib sendiri "bertindak berlebihan" menghalang perdana menteri bersemuka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ketika Najib dalam perjalanan dan dinasihati Ketua Polis Negara mengenai situasi di Pusat Dagangan Dunia Putra, pengajur berpendapat perdna menteri perlu hadir bagi membuktikan beliau berjiwa besar dan bersedia bertemu Dr Mahathir, sambil berbual mengenai apa jua perkara.
"Kami yakin jika pun program itu ditunda atas nasihat polis, pertemuan perlu diteruskan antara Najib dan Dr Mahathir dalam bilik tertutup kerana ini akan membuka lembaran baru dalam konteks politik Malaysia sekaligus meredakan hati pendokong-pendokong masing-masing," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Alang-alang datang, jangan halang
Malangnya, kata Khairul Anwar, pegawai berkenaan berusaha menghalang kehadiran Najib dengan menghantar laporan kurang tepat, menangguk di air keruh dengan menokok-tambah cerita.
Kata Khairul Anwar, pembantu perdana menteri berkenaan mendakwa Najib akan diejek jika tetap hadir ke PWTC.
"Walaupun penganjur akur dengan arahan polis supaya program ditangguhkan atas sebab keselamatan, namun alang-alang Dr Mahathir sudah bersedia untuk bertemu Najib, ia tidak sewajarnya dihalang.
"Isu keselamatan tidak timbul sama sekali jika mereka bertemu dalam bilik yang tertutup," katanya.
Semalam sepatutnya Najib menyampaikan penjelasan mengenai apa yang berlaku ke atas syarikat 1MDB yang kini menanggung hutang yang banyak.
Majlis itu menjadi perhatian ramai apabila Dr Mahathir - yang menjadi pengkritik lantang terhadap cara Najib menangani krisis berkenaan - turut hadir.
Bagaimanapun polis mengarahkan program berkenaan dibatalkan atas faktor keselamatan.
Tanpa kemunculan Najib, perdana menteri dilempar pelbagai tuduhan negatif, seperti penakut.
Khairul Anwar berkata, berdasarkan kejadian semalam, ada benarnya pandangan sesetengah pemimpin Umno sendiri, pihak yang merosakkan imej Najib bukanlah orang luar.
"Sebaliknya di kalangan orang dalam sendiri," katanya.

