Malaysia mula menganjurkan beberapa mesyuarat bagi membincangkan tindakan-tindakan susulan hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 baru-baru ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata mesyuarat berkenaan mula berlangsung sejak semalam hingga Khamis ini bertempat di Hotel Pullman Kuching, Sarawak.

Siri mesyuarat berkenaan akan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (ASEAN SOM) pada hari ini diikuti dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga (APT SOM) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS SOM) esok.

Mesyuarat ini akan diakhiri dengan mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Forum Serantau ASEAN (ARF SOM) pada Rabu ini.

Selain itu, mesyuarat ini juga adalah sebagai persediaan bagi menghadapi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-48/ Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar (PMC) yang akan diadakan dari 1 hingga 6 Ogos 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Othman Hashim akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat berkenaan akan melibatkan penyertaan pegawai-pegawai kanan dari semua negara anggota ASEAN, negara rakan dialog ASEAN termasuk Amerika Syarikat, Australia, China dan India serta Sekretariat ASEAN.

Selain itu, anggota ARF yang lain seperti Bangladesh, Mongolia, Pakistan, Papua New Guinea, Korea Selatan, Sri Lanka dan Timor-Leste juga akan turut serta dalam mesyuarat berkenaan.

- Bernama