Wabak MERS: Penganjur konsert pening kepala
Penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di Korea Selatan bukan saja menambah beban tugas anggota kesihatan, malah turut menyesakkan dada penganjur konsert.
Dengan kebimbangan umum, semakin ramai peminat hiburan yang sudah membeli tiket panik dan menuntut supaya wang mereka dikembalikan.
Penganjur Festival Muzik Ultra (UMF) di Stadium Olimpik Jamsil pada 12 dan 13 Jun mengakui sekurang-kurang 130,000 orang sudah mendapatkan tiket masing-masing menghubungi syarikat untuk mendapatkan wang mereka semula.
Jurucakapnya bagaimanapun berkata, mereka tidak akan membatalkan atau menangguh konsert berkenaan kecuali mendapat perintah daripada kerajaan.
"MERS bukan penyakit bawaan udara. Festival ini tidak membabitkan pengunjung berkhemah.
"Jadi saya fikir ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Di pihak orang awam pula, kebimbangan yang tercetus mendorong ramai pengguna memilih Facebook rasmi UMF sebagai perantara untuk menggesa penganjur membatal atau menangguh acara berkenaan.
Tiga pesakit disahkan mati
Setakat ini, 36 pesakit disahkan dijangkiti Mers dan lebih 1,600 orang terpaksa dikuarantin.
Tiga pesakit yang disahkan positif MERS turut dilaporkan mati.
Wabak itu bermula 20 Mei lalu selepas seorang pesakit melawat beberapa negeri di Timur Tengah.
Bagaimanapun, terdapat ramai lagi yang tidak berwaspada dengan risiko penyakit berkenaan.
Syarikat opera dan tarian dilaporkan tetap meneruskan acara minggu ini walaupun berdepan tekanan daripada pembeli tiket yang mahu mendapatkan bayaran balik.
“Sebuah sekolah menengah yang menempah 60 tiket untuk tontonan berkumpulan menghubungi kami untuk membatalkannya. Namun, pembatalan atau penangguhan di saat akhir tarikh persembahan itu bukan satu pilihan,” kata pekerja syarikat opera terbabit.
Sumber pula berkata, pencuci tangan turut disediakan di pintu masuk dewan untuk membolehkan tetamu mengambil langkah berjaga-jaga.
Dalam perkembangan berkaitan, bilangan penonton yang hadir ke pawagam di seluruh Seoul pada Selasa dan Rabu lalu mencatatkan penurunan 27 peratus kepada hanya 436,000 orang.
"Ïa mengingatkan saya kepada virus H1N1 pada 2009.
"Kami meletakkan pencuci tangan di pintu masuk pawagam bagi menggalakkan pelawat mempratikkan amalan kebersihan,” kata pegawai pawagam di bandar raya Seoul.

