'Sejarah buktikan pertemuan 4 mata gagal'
Pengamat politik Umno melihat pertemuan empat mata antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad tidak akan menyelesaikan masalah.
Shahbudin Husin sekali gus menolak cadangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selepas Mahathir gagal bertembung dengan Najib dalam dialog di Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Shahbudin berkata langkah itu telah diambil ketika Mahathir bertelingkah dengan pendahulu Najib Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini tetapi tidak berjaya.
“Ia bukanlah cadangan yang baik dan bernas pada ketika ini.
“KJ seharusnya tidak lupa bahawa ketika Tun Mahathir mengkritik dan menyerang kepimpinan Tun Abdullah dulu, pertemuan empat mata juga pernah diadakan antara kedua-duanya tetapi pengakhirannya tetap bapa mertuanya itu (Abdullah) perlu mengundurkan diri,” kata Shahbudin.
Khairy semalam berkata tidak perlu orang lain membantu menyelesaikan pertikaian Najib dan Mahathir, sebaliknya pertemuan empat mata harus dibuat.
Sementara itu, Shahbudin menambah, kesanggupan Mahathir turun ke dialog Nothing2Hide dan mahu berdepan Najib memberi gambaran tiada kompromi dalam usahanya menekan Najib untuk berundur.
Menulis dalam blognya, Shahbudin berkata, Mahathir bukan pemimpin yang “boleh dipujuk dan dibelai” untuk pertemuan empat mata itu,
“Kiranya ingin juga memberi saranan atau kebaikan untuk masa depan Umno, lebih baik KJ menasihatkan Najib agar cepat-cepat mengikut jejak langkah seperti bapa mertuanya dulu,” katanya.

