Solidariti gig anak muda selamba berisi
Konsert sederhana Solidariti: Malaysia Milik Kita Bersama yang diadakan kelmarin mungkin kelihatan sederhana dari segi kehadiran, tetapi tidak jika penilaian dibuat terhadap kualitinya.
Kumpulan pemuzik yang ditampilkan juga tidak terlalu gah kepada kebanyakan peminat seni.
Mereka ialah Shh...Diam!, Spooky Wet Dreams, Ching It Out, Orfeus, Brian Gomez dan Dum Dum Tak.
Setiap penghibur membawa genre muzik yang berbeza, daripada punk, hip hop, folk dan rap namun mereka dipertemukan oleh satu titik persamaan - menyatakan bahawa negara ini dimiliki seluruh rakyatnya.
Pengarah program, Wahyudi Yunus ketika ditemui berkata, gig yang dijalankan itu bukanlah sekadar alunan muzik biasa sebaliknya membawa idea tersendiri.
“Setiap kumpulan yang melakukan persembahan datang dari latar belakang berbeza dan tampil membawa watak masing-masing.
"Dalam bersahaja, mereka sempat menyampatkan mesej politik dalam lagu," katanya.
Gomez sempat menarik perhatian penonton apabila dia menyampaikan lagu Rokok Sebatang yang menyelitkan unsur satira politik:
Aku tak perlu bukti yang berkata siapapun
moyang akupun turun padang melawan jepun
negara kau juga negaraku
jom kita duduk sembang
kena rokok sebatang
dua, tiga, empat
sekotak kalau sempat
mungkin kau kan paham
aku bukan pendatang...
Solidariti: Malaysia Milik Kita Bersama itu bermula seawal jam 1 petang.
Ia bukanlah cuma hiburan kosong kerana di premis tersebut juga dibuka beberapa meja pertubuhan bukan kerajaan, persatuan amal dan jualan buku.
Penulis buku Agong Tanpa Tengkolok, Fathi Aris Omar juga berkesempatan membacakan petikan bukunya.
Di kalangan penonton, mereka bukan sekadar dari sekitar ibu negara, sebaliknya ada yang datang dari luar Kuala Lumpur, termasuk kumpulan Buku Jalanan Melaka serta peminat sejauh Johor dan Perak.

