Dari kerana kaki...
Menjadi artis tidak semestinya seseorang itu akan menjadi penentu trend untuk diikuti peminat, sebaliknya mereka juga terdedah kepada aktiviti meniru artis lain.
Anggun dan Agnes Monica adalah dua artis Indonesia dilihat memang banyak berbeza.
Namun di mata peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan selebriti pujaan masing-masing, persamaan itu kadang-kadang dapat dikesan - sama ada secara sengaja atau tidak.
Penggunaan dan kepesatan media sosial pula menjadikan perkembangan hidup selebriti terkenal sentiasa diperhatikan.
Anggun Cipta Sasmi, 41, memang sentiasa sibuk.
Dia baru saja selesai menamatkan tugasnya sebagai juri untuk siri realiti televisyen Asia’s Got Talent .
Sebagai juri, Anggun terpaksa berulang-alik dari Paris, Perancis ke Jakarta atau Paris - Singapura.
Agnes juga demikian.
Penyanyi berusia 29 tahun itu dilaporkan banyak menghabiskan masa dalam kapal terbang yang membawanya dari AS ke Indonesia.
Seperti biasa, masa yang terluang di dalam penerbangan digunakan untuk mengambil gambar dan dikongsi sebagai tatapan peminat di Instagramnya.
Satu daripadanya ialah gambar kaki Agnes di dalam kabin kapal terbang.
Sepatutnya ia adalah gambar biasa, tetapi di mata peminat mereka melihat ada persamaan di situ - Anggun juga pernah melakukannya.
Justeru ada pengikut akaun Agnes di Instagram menuduh da dia meniru Anggun.
Pengguna @denniz_ray menulis: “Gambar ini meniru Anggun sangat.”
Setelah laman web Kapanlagi.com menyelidiki akaun Instagram Anggun, ternyata gaya mereka di dalam imej itu sama saja.
Bagaimanapun sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada persamaan gaya itu memang disengajakan atau sekadar kebetulan.

