Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Isnin setelah selesai melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi mulai Sabtu.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dengan pesawat khas dari Royal Pavilion, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah pada 8 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia).

Berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada beliau ialah Menteri Negara Arab Saudi, Essam al-Saeed, Menteri Perbandaran dan Luar Bandar Abdullatif al-Shaikh dan Datuk Bandar Jeddah Hanu Aburas serta para pegawai kanan Wisma Putra.

Lawatan beliau ke negara ini adalah atas undangan Raja Salman Abdulaziz al-Saud, yang menyaksikan pertemuan rasmi pertama antara mereka sejak Raja Salman menaiki takhta awal tahun ini.

Perdana menteri dan isteri juga menunaikan umrah.

Bersempena lawatan ini, Najib menghadap Raja Salman di Istana As-Salam, meninjau perkhidmatan kereta api Metro Line yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina yang dikendalikan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Beliau juga merasmikan Restoran D'Saji kedua milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Arab Saudi yang terletak di Tahlia Street di sini pada Ahad.

- Bernama