Kementerian Kesihatan memberi jaminan akan tetap meneruskan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan yang terjejas kejadian gempa bumi di Sabah walaupun beberapa pusat kesihatan termasuk hospital di kawasan itu mengalami kerosakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementerian sedang memantau keadaan itu dan langkah alternatif diambil sekiranya hospital dan klinik kesihatan tidak boleh beroperasi.

Antara alternatif yang dicadangkan adalah menggunakan kabin sementara, katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembinaan krematorium di Segamat, hari ini.

"Kami (kementerian) telah diberitahu oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa ada kemungkinan bangunan hospital dan klinik kesihatan itu tidak selamat digunakan buat masa sekarang.

"Saya telah meminta perkhidmatan kesihatan itu diteruskan di kawasan yang lain dan tidak terlibat dengan kejadian gempa bumi itu dan lihat berapa lama ambil masa untuk baiki (pusat kesihatan dan hospital yang rosak) dan kita teruskan dengan cara memberikan perkhidmatan alternatif," katanya.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lepas itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Setakat semalam, tragedi itu telah meragut 16 nyawa, termasuk lapan warga Singapura yang mendaki Gunung Kinabalu. Dua lagi mangsa masih hilang.

Subramaniam berkata JKR melaporkan sebuah hospital, empat klinik kesihatan, lapan klinik desa dan satu klinik ibu dan anak mengalami kerosakan itu.

"Ia membabitkan fasiliti kesihatan di Ranau, Tuaran, Kota Belud dan Papar. Jika ada keperluan kita akan bina semula selepas mendapat nasihat daripada JKR," katanya.

Menurutnya selain itu pihaknya juga akan melihat jika ada peralatan penting kesihatan yang turut rosak akibat bencana itu.

Katanya pegawai forensik perubatan telah selesai melakukan pemeriksaan terhadap 14 mayat iaitu membabitkan lapan warganegara Singapura dan enam rakyat negara ini dengan dua lagi mayat belum dikenal pasti.

"Pihak hospital juga telah menerima lapan bahagian anggota badan dan sedang diperiksa di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (di Kota Kinabalu)," katanya.

Mengenai krematorium itu, Subramaniam yang juga anggota Parlimen Segamat berkata krematorium bagi masyarakat beragama Hindu itu akan dibina di satu lokasi di sini membabitkan peruntukan lebih RM1 juta dan dijangka siap pertengahan tahun depan.

- Bernama