Memiliki mata galak dan menawan tidak menjamin seseorang terlepas daripada kebencian.

Sekurang-kurangnya itu dialami aktres China, Zhao Wei, apabila dia disaman seorang lelaki kerana dituduh merenung sehingga mengganggu jiwanya.

Saman itu menjadi lebih unik apabila si lelaki terbabit mendakwa Zhao Wei membuat renungan berkenaan melalui televisyen.

Zhao Wei yang dianggap aktres China terkaya di dunia membuat renungan berkenaan ketika membintangi drama televisyen Princess Huanzhu yang popular di China pada 1990.

Menurut Chinadaily , saman difailkan lelaki terbabit di mahkamah rakyat Shanghai Pudong.

 

iweekly #vickizhao #zhaowei #赵薇

A photo posted by Zhao Wei (@zhaoweiofficial) on

Kes yang dianggap pelik itu menjadi viral sekelip mata selepas ia disiarkan dalam media sosial China yang sama seperti Twitter, Sina Weibo.

Tidak semua orang menyambut baik tindakan saman berkenaan.

Ada antara mereka malah menyelar tindakan lelaki berkenaan kerana dianggap tidak masuk akal.

Antara soalan yang timbul dari seorang pengguna: “Adakah lelaki itu gila? Apa salahnya jika aktres itu mempunyai mata yang galak?”

Seorang lagi pengguna pula menyatakan: “Kes saman jenis ini amat pelik dan harus dikutuk kerana hanya membuang masa mahkamah.”

Zhao yang dinobatkan dalam Forbes sebagai aktres paling kaya di China pernah menjadi guru tadika.

Si jelita itu bukan saja dikurniakan rupa yang menawan malah otak yang pintar kerana bijak menguruskan bayarannya yang lumayan dengan menggabungkan pendapatan yang diperoleh dari lakonan televisyen dan filem menjadi pelaburan.

Dia juga disamakan dengan bilionair Warren Buffet dari AS oleh media tempatan.