Ahli Exco Negeri Melaka Datuk Amid Nordin digesa supaya melepaskan jawatannya selepas keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun kerana didapati bersalah terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan bahagian parti itu, baru-baru ini.

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Betty Chew Gek Cheng berkata sekiranya Amid tidak layak menjadi ahli Umno kerana politik wang, maka beliau juga lebih tidak layak menjadi ahli exco negeri.

Oleh itu, katanya, Ketua Menteri Datuk Mohd Ali Rustam harus menjelaskan mengapa beliau masih berdegil mengekalkan Amid, walaupun beliau telah digantung keahlian Umno selama tiga tahun.

Amid didakwa terbabit dalam politik wang dalam pemilihan Umno Bahagian Kota Melaka di mana beliau menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik Julai lalu.

Dalam pemilihan tersebut, Abdul Rahim tewas dengan 109 undi, apabila mendapat 126 undi berbanding Amid yang memperolehi 235 undi. Berikutan Abdul Rahim telah membuat kenyataan terbuka mendakwa berlakunya politik wang dalam pemilihan tersebut.

Ini merupakan kali ketiga Abdul Rahim tewas kepada Amid dalam usahanya untuk merampas jawatan Ketua Umno bahagian Kota Melaka. Sebelum ini, Rahim tewas dua kali di tangan Amid, iaitu pada tahun 1997 dan 2000.

Semasa pemilihan tahun 1997, Abdul Rahim tewas dengan 44 undi manakala pada tahun 2000 dia tewas dengan 57 undi.

Kredibiliti

Betty yang juga Pengerusi DAP Wanita Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, berkata, Ketua Menteri tidak perlu merujuk kepada Perdana Menteri untuk menggugurkan Amid "kecuali Mohd Ali mahu menyelamatkan karier politik Amid".

"Macam mana Datuk Amid mempunyai kredibiliti menjalankan tugas rasmi sebagai Ahli Exco Negeri dengan rekod seperti ini?

"Kalau prinsip semudah ini tidak boleh difaham oleh Ketua Menteri, ini menunjukkan Datuk Mohd Ali Rustam hanya omong-omong kosong bila bercakap tentang akauntabiliti, ketelusan dan memerangi politik wang," tambahnya.

Betty mendakwa, sikap tidak bertanggungjawab dan tidak jujur Ketua Menteri memerangi politik wang inilah yang menjadi sebab utama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat empat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tempoh satu bulan ini berhubung dakwaan penyelewengan kewangan dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

"Laporan rasuah oleh Lim, yang melibatkan wang berpuluh-puluh juta ringgit, juga melibatkan politik wang Umno yang ada kaitan dengan dasar dan kontrak kerajaan negeri Melaka yang telahpun dibongkarkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik," tambahnya.

Menurut Betty ini menunjukkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), baik MCA, Umno, Gerakan dan MIC, tidak berkomited dalam memerangi rasuah.

"Adalah diharapkan BPR akan lebih bersemangat menjalankan siasatan terhadap laporan rasuah oleh Lim itu, selepas tindakan disiplin daripada Umno ke atas pemimpinnya di Melaka, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran kerajaan negeri," tambahnya.