Kira-kira 1,200 kakitangan keselamatan akan diletakkan dalam keadaan siap sedia sepanjang perhimpunan agung Umno selama lima hari mulai esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Menurut Bernama , mereka terdiri daripada anggota dari beberapa cawangan keselamatan seperti Jabatan Siasatan Jenayah, cawangan khas polis, perisikan tentera dan unit Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Senator Datuk Yaakob Mohamad berkata, pihaknya tidak akan mengambil mudah setiap perkara, memandangkan senario global kini.

"Tetapi langkah keselamatan tidaklah seketat semasa sidang NAM (Pergerakan Negara-negara Berkecuali)," katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai perkara itu di Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira 2,500 perwakilan dan lebih 30,000 pemerhati akan memenuhi ruang PWTC semasa perhimpunan itu, termasuk pemimpin-pemimpin asing dari 20 parti politik.

Perhimpunan Agung Umno kali ini akan menyaksikan pertandingan hebat bagi merebut jawatan Naib Presiden Umno, Ahli Majlis Tertinggi serta Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Pemilihan

Naib Presiden Umno, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan melakukan perasmian serentak bagi persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno pada malam esok.

Ini diikuti oleh pemilihan bagi jawatan Exco bagi ketiga-tiga sayap Umno pada awal pagi Rabu ini. Keputusan akan diumumkan pada hari yang sama.

Dalam pemilihan ini, 58 calon akan bertanding merebut jawatan Exco Pemuda manakala 34 lagi untuk Exco Wanita dan 41 calon bagi sayap Puteri Umno.

Kemuncak Persidangan Agung Umno kali ini akan berlangsung pada hari Khamis ini apabila kesemua 2,500 perwakilan akan memilih tiga daripada tujuh calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden.

Mereka ialah dua orang penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang bakal dicabar oleh Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Shahrir Samad, Datuk Isa Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Adnan Yaakob.

Manakala 51 lagi calon akan berentap bagi merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno.