Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nampaknya ramai yang kecewa dengan kematian Pakatan Rakyat.

Namun ini bukan alasan untuk merasa sedih dan kecewa di saat sepatutnya wujud ketetapan yang lebih kuat serta komitmen untuk terus memburu Impian Malaysia yang inklusif ke arah perpaduan, keadilan, maruah dan kemakmuran buat semua rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-14.

Meskipun perjuangan politik tujuh tahun Pakatan berakhir ekoran pelanggaran serius terhadap dasar bersama Pakatan oleh PAS, kita percaya bahawa impian dan visi ke arah Malaysia baru yang memiliki perpaduan nasional harus menjadi objektif utama.

Begitu juga dengan persefahaman antara kaum dan agama, rasa hormat, keadilan, akauntabiliti, urus tadbir yang baik, menamatkan rasuah dan salah guna kuasa, memelihara maruah, mempunyai sistem pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan yang baik serta persekitaran selamat.

Atas tujuan ini, DAP akan bekerjasama dengan parti-parti dan kuasa-kuasa politik yang sependapat, demi muafakat politik baru yang komited terhadap prinsip tersebut dan wawasan Impian Malaysia.

Kami di DAP tidak akan bekerjasama dengan pimpinan PAS yang telah mencabul dasar bersama Pakatan, tetapi bersedia bekerjasama dengan kuasa-kuasa politik dan rakyat Malaysia yang komited terhadap dasar itu.

Ini termasuklah ahli-ahli PAS di pelbagai peringkat yang tidak menolak dan mengabaikan dasar bersama tersebut.

Dipersetan di muktamar

DAP tidak ada masa untuk sandiwara politik seperti usul muktamar PAS yang memutuskan kerjasama dengan DAP dan seruan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad yang meminta Majlis Syura bertemu segera bagi membincangkannya.

Sedangkan, pada masa ini, Majlis Syura masih belum dibentuk!

Datuk Haron Din sendiri berkata selepas muktamar beliau bukan lagi Mursyidul Am PAS sehinggalah majlis syura dibentuk semula.

Munculnya rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan pelaksanaan hudud dalam aturan mesyuarat Parlimen sepanjang dua hari lalu, yang berakhir hari ini adalah isyarat kepada dua perkara:

(1) Hadi diberikan imbalan atas perubahan pendirian politiknya, di mana Umno dibahasakan dengan cara terhormat, manakala DAP dipersetankan di muktamar PAS.

(2) Hadi sudah dipermainkan Umno yang tidak mempunyai niat mahupun kemampuan untuk memberikan sokongan di peringkat nasional mahupun di Parlimen untuk melaksanakan hudud.

Ia akan secara langsung menimbulkan kemarahan 48 ahli parlimen BN di Sabah dan Sarawak, mencetuskan bukan sahaja risiko bagi survival Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri tetapi juga survival dan perpaduan Malaysia.


LIM KIT SIANG ketua Parlimen DAP merangkap ahli parlimen Gelang Patah.

Lihat Komen
ADS